Berita

Belia Pensiangan terpaksa gadai nyawa seludup barang ke negara jiran

PENSIANGAN, 26 SEPT: Dari mata kasar, kehidupan golongan belia di Pensiangan seperti biasa sahaja terutama yang berasal dari keluarga sederhana dan kaya.

Meski, pengiktirafan Athur Joseph Kurup sebagai Ikon Belia Negara TN50 dikatakan satu pencapaian tertinggi dan membanggakan bagi seorang anak golongan elit Pensiangan, jauh dari hakikat itu – apa yang dilalui oleh anak Pensiangan adalah realiti pahit yang berlaku.

Adrian Lasimbang, Penyelaras DAP Pensiangan

Mereka terpaksa bergadai nyawa mengharungi sungai yang deras sebagai tekong bot dan ada di antara mereka terpaksa membawa barangan seludup ke negara jiran yang hanya beberapa minit jarak perjalanannya dari sempadan Malaysia iaitu Kampung Bantul.

Berdasarkan penelitian penulis membuat tinjaudan di pengkalan Sungai Longongon, rata-rata pemandu bot didapati dari kalangan remaja dan belia yang masih dibawah umur dan yang baru tamat sekolah menengah.

Ada juga yang terpaksa berhenti sekolah dan bekerja sebagai tekong demi membantu mata pencarian keluarga.

Penyelaras DAP Pensiangan, Adrian Lasimbang ketika diminta mengulas keadaan ini berkata, kebanyakaan remaja ini merupakan mereka yang berasal dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah.

Malah, ada di antara mereka merupakan remaja yang belum tamat persekolahan yang berumur lingkungan 16 tahun ke atas.

“Saya memandang permasalahan ini sebagai sesuatu yang tidak mustahil berlaku, ini kerana kebanyakan remaja ini tidak mempunyai arah atau halatuju selepas tamat persekolahan.

“Ini kerana tidak ada perancangan atau program yang boleh menengahkan atau melibatkan mereka untuk diceburi selepas sahaja tamat di alam persekolahan,” kata beliau.

Dari temuramah penulis dengan beberapa remaja yang melakukan pekerjaan berkenaan, mereka mengakui terpaksa melakukan pekerjaan itu kerana tiada pilihan lain – demi mencari sumber pendapatan.

Menurut Adrian, memandangkan Arthur telah dinobat sebagai Ikon Belia Negara TN50, beliau seharusnya tahu dan mengambil tindakan segera dengan mengusahakan sebarang inisiatif untuk membela nasib golongan remaja ini.

“Apa yang sangat memalukan, walaupun Athur telah diangkat sebagai belia negara TN50, kehidupan dan kebajikan belia Pensiangan tidak terbela terutama di kawasan pendalaman,” katanya lagi. –Roketkini.com

*Kredit Foto: DAP Pensiangan