Berita

Pengundi Selangor cenderung pilih parti yang bekerja untuk rakyat

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Pengundi di Selangor lebih tertarik untuk memilih parti atau gabungan yang menawarkan program kebajikan dan pentadbiran yang lebih baik, kata Pengarah Strategik Pilihan Raya DAP, Dr Ong Kian Ming.

Beliau berkata, pengundi di negeri ini juga mempunyai akses yang mudah terhadap sesuatu maklumat yang disampaikan melalui media sosial dan atas talian, sekaligus tidak cenderung untuk termakan propaganda yang sering dimainkan media arus perdana.

“Pemikiran mereka tidak ‘dibasuh’ media arus perdana. Kebanyakan daripada mereka juga menerima pendapatan yang tinggi dan pendidikan yang lebih baik berbanding negeri lain. Malah, Selangor mencatatkan jumlah pengundi baru yang didaftarkan tertinggi berbanding negara lain.

“Sebahagian besar daripada lebih 2 juta pengundi di Selangor pula bukanlah berasal dari Selangor. Mereka berpindah ke negeri ini disebabkan oleh peluang pekerjaan dan pendidikan yang baik.

“Oleh kerana itu, mereka tidak terikat dengan mana-mana parti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, faktor itu juga menjadi sebab mengapa Pakatan Harapan berkemungkinan besar mampu untuk mempertahankan sebahagian besar kerusi yang dimenangi Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum lepas meskipun berdepan pertandingan tiga penjuru.

Selain dasar mesra rakyat, katanya yang juga Ahli Parlimen Serdang, faktor populariti Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali berbanding Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga memainkan peranan yang penting.

“Rekod kerajaan Selangor, walaupun tidak sempurna, dirasai secara positif pengundi di negeri ini melalui program kebajikan Inisiaitif Peduli Rakyat yang memberikan kad kesihatan kepada keluarga serta individu berpendapatan rendah, selain perkhidmatan bas percuma,” ujarnya.

Ini, katanya ditambah dengan pelaburan masuk dan peluang pekerjaan yang melimpah ruah di negeri berkenaan.

Beliau yang juga Setiausaha DAP Selangor turut mendedahkan statistik yang menunjukkan trend perubahan sokongan pengundi di negeri ini terhadap pesaing utama Pakatan Harapan iaitu Barisan Nasional (BN) dari PRU 1990 hingga 2013 bagi memperkuatkan hujahnya.

“Sokongan terhadap BN di Selangor meningkat dari 54.8% (PRU 1990) ke 72.4% (PRU1995), ekoran pertumbuhan ekonomi tinggi yang dinikmati negara pada awal 1990-an sebelum krisis ekonomi Asia pada 1997.

“Sokongan itu turun ke 54.8% pada era reformasi 1999. Ia kembali meningkat ke 62.8% pada 2014 ketika ‘tsunami’ Pak Lah sebelum menurun ke 43.4% pada 2008 dan berterusan menjunam ke 38.4% pada PRU 2013,” ujarnya. – Roketkini.com