Berita

SPRM patut pulangkan peruntukan RM5 juta dari Najib

KLANG, 2 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar memulangkan peruntukan jutaan ringgit yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada sebuah yayasannya yang baru ditubuhkan semalam.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, pemberian itu boleh mencetuskan percanggahan kepentingan memandangkan Najib Razak masih lagi dalam siasatan SPRM berhubung skandal syarikat milik negara, 1MDB.

“Dalam situasi seumpama itu, adalah sangat tidak beretika untuk perdana menteri mengumumkan peruntukan berkenaan memandangkan wujud percanggahan kepentingan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

“Begitu juga dengan pihak SPRM, adalah tidak beretika jika agensi itu menerima peruntukan berkenaan kerana ia akan dianggap sebagai menjejaskan siasatan ke atas Najib Razak malah melanggar doktrin asas anti-rasuah.”

Selain memulangkan peruntukan itu, apa yang perlu dilakukan SPRM, menurut Charles, adalah mempercepatkan siasatan terhadap Najib dan mendedahkan secara umum laporan siasatan berkenaan dalam tempoh dua minggu.

“Ini bagi mengelak daripada orang ramai mencemuh agensi anti-rasuah itu kerana menerima sumbangan daripada orang yang sedang disiasatnya,” katanya.

Najib Razak ketika berucap di Ibu Pejabat SPRM yang baru di Putrajaya, semalam, mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta kepada Yayasan Prihatin SPRM sebagai tanda sokongan kepada petugas agensi berkenaan.

Dalam masa sama, SPRM juga sedang mengenal pasti bagaimana dana bernilai RM42 juta dari SRC International boleh disalurkan ke akaun peribadi milik perdana menteri antara Disember 2014 dan Februari 2015.

SRC adalah anak syarikat 1MDB sebelum diletakkan sepenuhnya di bawah Kementerian Kewangan. – Roketkini.com