Berita

Di sebalik penutupan Klinik Nur Sejahtera dan Kedai Rakyat 1Malaysia

IPOH, 5 OKT: Penutupan 185 Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di seluruh Malaysia dan pemberhentian operasi Klinik Sejahtera kelolaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di dua lokasi di Perak terus menimbulkan tanda tanya.

Menyifatkan ia sebagai memalukan, Naib Pengerusi DAP Perak A. Sivanesan mendesak supaya kerajaan persekutuan jujur menjelaskan isu sebenar di sebalik penutupan perkhidmatan tersebut.

“Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan megah melancarkan KR1M.

“Hampir kesemua pemimpin BN ketika itu berkata cadangan KR1M adalah satu lagi projek BN bagi memudahkan kesusahan rakyat yang menderita kerana kenaikan harga barang keperluan harian,” katanya dalam kenyataan.

Najib malah telah memperuntukkan RM200 juta bagi menjayakan program tersebut di seluruh negara.

Namun apa yang menghairankan kata Sivanesan, KR1M tidak mampu bertahan dan terpaksa gulung tikar.

“Tiba-tiba sahaja, kerajaan mengumumkan bahawa mereka tidak bertanggungjawab dengan KR1M termasuk pekerja-pekerja yang berkerja di KR1M. Jadi apa yang disembunyikan oleh kerajaan?

“Apakah persefahaman antara Mydin dengan kerajaan? Bagaimana dengan peruntukan RM200 juta?” soal beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai itu juga menggesa KPWKM supaya menjelaskan penutupan dua Klinik Sejahtera di kawasan Bidor dan Teluk Intan.

Katanya, klinik yang telah diasaskan oleh Tunku Abdul Rahman sejak tahun 1966 itu khusus buat golongan wanita di mana sebanyak 66 klinik dibuka seluruh negara termasuk enam di Perak.

“Klinik ini adalah khusus untuk golongan wanita yang mendapat sambutan yang tinggi.

“Tetapi, kini dua klinik di Bidor dan Teluk Intan ditutup tanpa diberi sebab. Pesakit wanita yang mengunjungi klinik-klinik ini, telah diminta ke cawangan Tanjung Malim atau Kampar,” kata Sivanesan.

Persoalannya, sekiranya Kementerian Kesihatan boleh mengendalikan Klinik 1Malaysia, Klinik Desa dan sebagainya, mengapa Kementerian Wanita menghadapi masalah mengenadalikan klinik yang telah beroperasi sejak lebih empat dekad itu. – Roketkini.com