Berita

Kegiatan godam telefon bimbit makin berleluasa menjelang PRU14

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Pemimpin muda Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini menggesa polis segera menyiasat laporan berhubung kegiatan spoofing (godam) yang telah memangsakan nombor telefon bimbit dua seketariat himpunan Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi yang disyaki berlaku Jumaat lalu.

Jenayah itu telah menyebabkan dua mesej pesanan ringkas menggunakan dua nombor telefon bimbit mangsa di hantar secara rambang sekaligus mencetuskan kemarahan penerima mesej berkenaan.

Mesej yang dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) itu berbunyi: “I want my money now ! F*** you” manakala satu lagi mesej seperti berikut: “Gambar awak dah tersebar ye? Saya mahu duit”.

Howard Lee, Setiausaha Antarabangsa DAPSY

Apa yang menimbulkan tanda tanya, godaman itu dibuat pada hari Jumaat malam, kurang 24 jam sebelum perhimpunan di Padang Timur, Petaling Jaya itu diadakan.

Menurut Setiausaha Antarabangsa DAP Kebangsaan, Howard Lee, kegiatan spoofing yang melanggar undang-undang negara itu perlu disiasat kerana telah menceroboh hak dan data peribadi mangsa.

“Ada beberapa soalan tertentu yan timbul, apabila nombor mereka digunakan hanya untuk menghantar notis kepada media (maklumat mengenai himpunan), dia kita sedia maklum yang media mungkin panjangkan mesej itu kepada pihak polis, maka hanya pihak media dan polis yang ada nombor mereka. Adakah wujud ‘udang di sebalik batu’?

“Adakah ini suatu taktik politik yang diambil oleh pihak tertentu yang tidak setuju dengan himpunan tersebut? ” soal Adun Pasir Pinji ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Pudu sebentar tadi.

Ulya Husamudin, Ketua Penerangan ARMADA

Menurutnya, kalau sebelum ini mangsa godaman merupakan ahli-ahli politik, kini, kegiatan tersebut telah mula memangsakan petugas dan pekerja parti.

Ketua Penerangan ARMADA, Ulya Hisamudin berkata, pihak polis perlu segera menjalankan siasatan dan mengambil tindakan ke atas dalang disebalik aktiviti tersebut.

“Saya minta pihak berkuasa lakukan siasatan dengan baik. Kalau untuk himpunan sudah ada cubaan-cubaan begini, kita boleh jangka apa yang akan berlaku sewaktu mendekati pilihan raya nanti.

“Kalau ini tidak dapat diatasi, saya risau yang rakyat akan diperbodohkan, hak dicabul dan saya harap perkara ini dapat diatasi dan dapat tahu siapa dalang disebalik isu ini,” katanya lagi. –Roketkini.com