Berita

Sekretariat himpunan anti-kleptokrasi buat laporan polis telefon bimbit digodam

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Dua laporan polis dibuat terhadap kegiatan spoofing (godam) memangsakan nombor telefon bimbit dua Ahli sekatariat Himpunan Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi dengan menghantar mesej ugutan secara rambang kepada orang awam.

Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pudu hari ini oleh Chin Pei Chi, manakala satu lagi laporan sebelum dibuat Jumaat lepas di Balai Polis SS2 Petaling Jaya oleh Medaline Chang.

Menurut Medaline, beliau menyedari nombor telefon bimbitnya telah digodam setelah menerima panggilan daripada salah seorang penerima mesej.

Mesej yang dihantar melalu telefon bimbitnya berbunyi “I want my money now ! F**k you ”

Medaline Chang

Menurut laporannya, satu panggilan dari orang yang tidak dikenali telah diterima pada jam 10.22 malam ketika dalam mesyuarat di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Bangunan Yayasan Selangor.

“Saya terkejut kerana pemanggil meninggikan suara dan marah-marah. Saya ingat orang itu salah nombor,” katanya di perkarangan IPD Pudu sebentar tadi.

Setelah mendapat panggilan seterusnya dengan nada dan soalan yang sama, Medaline mengesyaki sesuatu mungkin telah berlaku terhadap telefon bimbitnya.

Akibat godaman itu, beliau telah menerima lebih 100 panggilan telefon termasuk mesej teks dari penerima.

Beliau percaya, ada pihak tidak bertanggungjawab anti-Pakatan Harapan sengaja melakukan kegiatan godaman tersebut untuk mengganggu kerja-kerja penganjuran himpunan aman sayangi Malaysia minggu lalu.

“Gambar awak dah tersebar ye? Saya mahu duit”

Sementara itu, seorang lagi mangsa godam, Chin Pei Chi bahawa beliau telah menerima panggilan dari nombor yang tidak dikenali sekitar jam 10.45 malam, Jumaat lalu ketika berada di dalam KK Mart, Jalan Dutamas dekat sini.

Pemanggil itu bertanyakan “Gambar apa yang sudah tersebar? Kenapa nak minta duit?”

Chin Pei Chi

“Masa itu saya berasa amat pelik. Saya kemudiannya periksa telefon bimbit saya dan dapati menerima banyak pesanan teks ringkas dan panggilan telefon.

“Saya mengesyaki no telefon saya telah digodam,” katanya selepas membuat laporan polis di IPD Pudu.

Menurutnya, semua individu yang menghubungi dan menghantar khidmat pesana ringkas ke nombor telefon bimbitnya mendakwa telah menerima satu pesana ringkas daripada nombornya yang menyatakan, “Gambar awak dah tersebar ye? Saya mahu duit”.

Sehingga laporan dibuat, ahli sekatariat himpunan anti-kleptokrasi itu telah menerima 106 khidmat pesanan ringkas (SMS) dan 70 panggilan telefon.

Kedua-dua nombor pengadu telah dipaparkan dalam notis yang dihantar kepada pihak media berhubung aktiviti dan program sebelum perhimpunan aman Sabtu lalu diadakan.

Peguam Quratul Ain

Peguam Quratul Ain yang mengiringi pengadu mendesak supaya pihak berkuasa menyiasat aduan berhubung kegiatan spoofing yang berlaku.

“Ini bukan kali pertama kes sebegini dilaporkan. Sebelum ini ada banyak kes telah berlaku.

“Saya berharap polis dapat menyiasat perkara ini termasuk terhadap syarikat telco memandangkan ia merupakan satu pencabulan dan pencerobohan ke atas data peribadi,” katanya.

Polis juga digesa menjalankan siasatan terhadap individu yang menjalankan kegiatan yang menyalahi undang-undang itu di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia. – Roketkini.com