KUALA LUMPUR, 19 OKT: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam Belanjawan 2018 akan datang sekiranya benar-benar prihatin untuk menangani kos kenaikan sara hidup dan perumahan mampu milik.
Menurut Ketua DAPSY Wilayah Persekutuan, Bryan Lew, sejak pelaksanaannya pada 2015, GST telah menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup menyebabkan barangan dan keperluan utama rakyat negara ini meningkat.
“BN jelas telah gagal untuk memenuhi janji untuk kurangkan kos sara hidup rakyat dan bagaimana kita boleh percaya Perdana Menteri akan mampu melakukannya dalam belanjawan 2018 nanti selain bentangkan belanjawan populis memandangkan pilihan raya semakin hampir,” katanya.
Katanya, semakin ramai kalangan rakyat termasuk penjawat awam bersuara termasuk desakan supaya kadar gaji minima ditingkatkan, begitu juga dengan bonus yang tertnggak sejak 2013.
“Jumlah gaji minima pada waktu ini sebanyak RM900 amat sedikit untuk menampung kos sara hidup dan tidak selari dengan kadar inflasi semasa.
“GST mungkin merupakan sumber pendapatan yang baik kepada kerajaan namun apa gunanya jika membebankan rakyat,” katanya lagi.
Setiausaha DAPSY Kebangsaan itu turut melahirkan kegusaran terhadap beberapa pindaan dalam GST dalam sesi Parlimen akan datang yang dilihat bakal memberi kesan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) yang sememangnya sedang mengalami kemerosotan sejak pelaksanaan GST.
“Saya setuju apabila ada usaha mempromosikan teknologi perniagaan atas talian dan memajukan ekonomi digital serta e-usahawan, dalam masa yang sama, ia dilihat akan memberi kesan kepada e-SME jika akhirnya dibebani dengan GST.
“Melalui program audit cukai bersama oleh badan-badan percukaian seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Kastam, SME sekali lagi berdepan dengan penalti.
“GST baru diimplmentasikan dua tahun lalu dan tidak adil mengenakan penalti terhadap mereka (SME) memandangkan tiada panduan yang jelas kepada SME ini,” jelasnya.
Menyentuh tentang kos perumahan mampu milik pula, Bryan berkata pembeli terpaksa menanggung kos GST terhadap bahan binaan yang tidak dipulangkan kerajaan kepada pemaju perumahan.
“Jadi ia akan menjadi kos yang terpaksa ditanggung pemaju seterusnya menyebabkan nilai hartanah melonjak.
“Lihat sahaja purata harga rumah di Kuala Lumpur yang bernilai RM580,000 di mana kos sepatutnya sekitar RM385,000. Dalam keadaan ini, hanya mereka yang memilik purata gaji RM7,620 sahaja mampu memilikinya.
“Bagi rakyat yang berpendapatan rendah daripada itu, hanya mampu melihat,” katanya lagi. –Roketkini.com