KOTA KINABALU, 19 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) Sabah berjaya membentuk sayap wanita gabungan itu diketuai oleh Ketua Wanita DAP Sabah, Jannie Lasimbang.
Pemilihan tersebut dibuat sebulat suara oleh 12 wakil parti komponan yang terdiri daripada lima wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR), lima wakil dari DAP dan dua wakil AMANAH.
Menyifatkannya sebagai pasukan yang baik, Jannie menzahirkan komitmen terhadap pemberdayaan wanita di wilayah itu dan akan bekerja untuk memastikan nasib wanita Sabah terbela.
“Kami akan bekerja untuk pastikan kepentingan wanita Sabah diperkuatkan malah akan memastikan ia dimasukkan dalam manifesto dan memastikan ia dilaksanakan apabila HARAPAN berjaya mentadbir,” katanya kepada Roketkini.
Menurutnya, di bawah pentadbiran UMNO – Barisan Nasional (BN) Sabah, golongan wanita dan keluarga terpaksa menanggung bebanan kos kehidupan yang tinggi.
“Orang Sabah sudah menderita terlalu lama di bawah rejim BN. Kita masih bertahan kerana kita kuat. Itulah sebab mengapa kita sebagai wanita harus bekerja bersama sekarang, untuk membawa perubahan alam Pilihan Raya Umum ke-14,” kata Jannie.
Jannie berkata, pemimpin Wanita HARAPAN Sabah bukan sahaja perlu bekerja untuk pilihan raya tetapi untuk kepentingan dan pembelaan wanita dalam jangka masa panjang.
“Untuk merealisasikan matlamat itu, Wanita HARAPAN Sabah akan memberi sumbangan untuk membentuk manifesto Wanita HARAPAN merangkumi pemerkasaan ekonomi dan jaminan kesejateraan sosial untuk wanita,” jelas beliau.
Ia katanya merangkumi Hak Pembangunan Ekonomi Saksama dan Pengupayaan Anak Muda, Wanita dan Golongan Minoriti.
“Kita perlu jelaskan kepada masyarakat mengapa hak-hak wanita perlu diperkukuh terutamanya bagi kawasan pedalaman dan pinggir bandar yang selama ini hidup susah akibat kegagalan dasar-dasar ekonomi wanita yang lemah,” katanya.
Kegagalan dasar BN itu ujarnya sekaligus memberi kesan kepada golongan wanita untuk menjana lebih pendapatan keluarga begitu juga dengan kesihatan dan keselamatan sosial.
Berikut adalah struktur kepimpinan Wanita Pakatan Harapan Sabah:
Ketua Wanita: Jannie Lasimbang (DAP)
Timbalan: Rahimah Majid (PKR), Sakinah Marsus (AMANAH)
Setiausaha: Claire Taunek Simbat (DAP)
Bendahari: Chin Su Ping(DAP)
Ketua Wanita Muda: Farikah Mustil (PKR)
Pengarah Pilihan Raya: Dorothea Tiansun (PKR)
Ketua Biro Penerangan: Nazmawati Wali (PKR)
Ketua Biro Komunikasi & Media: Siti Hazar Ibrahim (AMANAH)
Ketua Biro Ekonomi: Olon Somoi (DAP) -Roketkini.com