Berita

Kit Siang terkejut wartawan Malaysiakini dihalau keluar pembantu Khairy

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang terkejut dengan tindakan pegawai khas kepada Khairy Jamaluddin yang dilaporkan menghalau petugas Malaysiakini daripada membuat liputan di majlis yang dihadiri Menteri Belia dan Sukan itu, hari ini.

Menurut Kit Siang, tindakan itu sangat mengejutkan kerana ia dilakukan oleh individu yang diangkat UMNO-Barisan Nasional (BN) sebagai ikon kepada anak muda serta pernah bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri sebelum mencecah umur 40 tahun.

“Tetapi apa yang lebih mengejutkan adalah perenggan berikut daripada laporan Malaysiakini itu: ‘Tindakan setiausaha akhbar atau pembantu yang meminta wartawan untuk membekalkan soalan sebelum sidang akhbar diadakan bukan sesuatu amalan luar biasa di Malaysia’.

“Saya menceburkan diri dalam politik Malaysia selama 52 tahun tetapi inilah kali pertama saya mendengar amalan ‘pra-sidang media’ yang merosakkan dan memalukan yang diamalkan menteri dan pemimpin UMNO-BN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malaysiakini hari ini melaporkan bahawa mereka diarahkan oleh Raja Syahrir Abu Bakar, pegawai khas kepada Khairy untuk meninggalkan majlis yang dihadiri Ketua Pemuda UMNO itu di Kuala Lumpur.

Arahan itu dibuat selepas Raja Syahrir memohon soalan yang mahu diajukan daripada pihak wartawan sebelum sidang media diadakan.

“Saya minta maaf YB tak mahu jawab soalan dari Malaysiakini dan berada dalam majlis ini, kita minta Malaysiakini beredar,” kata Raja Syahrir memetik laporan portal berita itu.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah turut terkejut dengan tindakan media di negara ini yang dilihat seolah-olah bersetuju dengan amalan menapis soalan sebelum sidang media berlangsung.

“Adakah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak akan mengumumkan bahawa amalan keji dan memalukan seumpama itu akan dihentikan?” soalnya. – Roketkini.com