Berita

1,300 penduduk kampung di Pensiangan berdepan risiko pencemaran sisa kilang sawit

PENSIANGAN, 20 OKT: Lebih daripada 1,300 penduduk Kampung Ambual terus berdepan risiko keracunan dan masalah kesihatan jika tiada tindakan segera diambil bagi menyelesaikan masalah ketiadaan bekalan air bersih yang berlarutan sepanjang 15 tahun lalu.

Ini kerana, kampung yang terletak 13 kilometer dari Bandar Keningau itu masih bergantung sepenuhnya dengan Sungai Ambual dan air hujan sebagai kegunaan harian.

Malangnya, sumber air yang menjadi keperluan penduduk itu semakin kritikal apabila dicemari bahan kimia dari kilang memproses minyak sawit di bahagian hulu sungai sejak tahun 2002.

Meskipun penduduk telah beberapa kali membuat aduan dan bantahan terhadap kilang tersebut kepada Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup dan pihak berkuasa, sehingga kini tiada tindakan diambil.

Penyelaras DAP Pensiangan, Adrian Lasimbang berkata, isu pencemaran itu tersebut telah disuarakan di Parlimen oleh Penasihat DAP Sabah, Jimmy Wong Sze Phin yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu.

“Saya dimaklumkan berkenaan dengan keadaan Kampung Ambual dari hasil tinjauan dan temubual pasukan DAP Pensiangan sendiri, dan isu mengenai bekalan air bersih di kawasan ini telah dibawa ke Parlimen melalui Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong dalam sesi Kamar Khas Parlimen tahun lalu.

“Jawapan yang kami terima oleh menteri melalui kamar khas menyatakan usaha sedang dijalankan untuk projek bekalan air bersih di kawasan tersebut namun sampai sekarang masih tiada tindakan yang diambil,” katanya ketika ditemui.

Beliau melahirkan rasa hairan memandangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga hari ini seolah-olah tidak prihatin terhadap keselamatan dan kesihatan 1,3000 penduduk kampung.

Salah seorang penduduk, Andasi Rantan yang ditemui berkata masalah yang belum selesai itu menunjukkan sikap tidak prihatin dan pengabaian oleh kerajaan BN.

“Saya masih ingat janji Tan Sri ketika sambutan Pesta Menuai sejurus selepas PRU12 di mana beliau memberitahu bekalan air bersih untuk Transpagalan diberikan pada tahun itu juga.

“Malangnya, kini hanya lembu di ladang ternakan Bomboi dan perumahan Taman Bersatu sahaja yang minum air paip. Mungkin undi dan kepercayaan kami tidak bermakna,” katanya kesal. – Roketkini.com