Berita

Samanlah kalau bimbang kenyataan diputar belit, bukan halau media

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Tidak ada apa yang perlu ditakutkan oleh Khairy Jamaluddin dengan soalan yang ingin diajukan pihak Malaysiakini dalam sidang media Menteri Belia dan Sukan itu semalam.

Jika Khairy bimbang kenyataannya diputar belit portal berita itu, Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin berkata, Ketua Pemuda UMNO berkenaan boleh memilih untuk menyaman mereka jika perkara itu benar-benar berlaku.

Namun, katanya, tindakan menghalau Malaysiakini sebelum sempat mereka mengajukan soalan adalah keterlaluan dan tidak menghormati bukan sahaja wartawan malah kebebasan media di negara ini secara keseluruhannya.

“Apa yang ditakutkan sangat Khairy dengan Malaysiakini?”

“Adakah kerana dia bimbang akan menegakkan benang basah?” soal Bee Yin dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Sosialis Muda DAP (DAPSY) turut menggesa agar Khairy memohon maaf kepada Malaysiakini atas tindakannya itu.

Malaysiakini semalam melaporkan bahawa mereka diarahkan oleh Raja Syahrir Abu Bakar, pegawai khas kepada Khairy untuk meninggalkan majlis yang dihadiri menteri berkenaan di Kuala Lumpur.

Arahan itu dibuat selepas Raja Syahrir memohon soalan yang mahu diajukan daripada pihak wartawan sebelum sidang media diadakan.

“Saya minta maaf YB tak mahu jawab soalan dari Malaysiakini dan berada dalam majlis ini, kita minta Malaysiakini beredar,” kata Raja Syahrir memetik laporan portal berita itu.

Dua soalan yang ingin diajukan Malaysiakini kepada Khairy adalah seperti berikut:

Adakah Pemuda UMNO akan menggantung dua pemimpin Pemuda UMNO Sabah yang ditangkap oleh SPRM baru-baru ini, sementara menunggu siasatan;

Pandangannya terhadap dakwaan kenyataan anti-Bugis oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. – Roketkini.com