Berita

SPRM dinasihat jangan jadikan siasatan rasuah sebagai alat politik

TAWAU, 20 OKT: Suruhanjaya Siasatan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bertindak adil dan tidak melakukan pendakwaan terpilih dalam menjalankan tugas mereka kata Setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin.

Menurutnya, ‘pendakwaan terpilih’ SPRM terhadap ramai pemimpin pembangkang menunjukkan kecenderungan agensi itu menjalankan tangkapan bermotifkan politik terhadap kepentingan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Ia dilakukan terhadap mana-mana individu yang dilihat cenderung untuk melawan dan meninggalkan UMNO,” kata Adun Sri Tanjung itu.

Chan berkata demikian mengulas penahanan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Shafie Afdal oleh SPRM semalam selepas bekerjasama memberi keterangan bagi membantu siasatan terhadap kes penyelewengan dana RM1.5 bilion Kementerian Luar Bandar dan Wilayah.

“DAP Sabah menzahirkan rasa kurang selesa dengan tindak tanduk SPRM yang keterlaluan dan jelas seolah-olah dirancang untuk menakut-nakutkan pemimpin pembangkang.

“Orang yang berkuasa dilihat menjadikan SPRM sebagai senjata untuk bertindak terhadap mereka yang berpaling tadah. Jika diteliti, semua pemimpin UMNO yang ditahan dan direman adalah sama ada penyokong Datuk Seri Shafie ataupun mereka yang memberi sokongan kepada perjuangan WARISAN,” katanya.

Bagaimanapun belia menegaskan, DAP Sabah akan sentiasa menyokong sebarang usaha SPRM menyiasat penyelewengan sejumlah RM1.5 dana kerajaan itu secara telus dan adil.

Ini termasuk siasatan terhadap penyelewengan terbesar dana 1MDB yang melibatkan individu MO1 yang sehingga kini masih bebas tanpa sebarang tindakan.

“Di Sabah, semua dakwaan dan skandal berkaitan Ketua Menteri, Datuk Musa Aman yang dilaporkan sebelum ini nampaknya diketepikan seolah-olah tiada sebarang siasatan dibuat.

“Jika SPRM serius menjalankan tugas mereka membanteras gejala rasuah dan membersihkan negara dari penyamun seperti MO1 dan kroninya, mereka perlu bertindak betul memastikan MO1 dikenakan tindakan undang-undang,” ujar Chan.

Beliau menegaskan, undang-undang perlu dilaksanakan tanpa rasa gentar terhadap semua kes rasuah.

“Salah tetap salah. Undang-undang perlu dilaksanakan tanpa rasa gentar. Tetapi, adakah wajar menangkap seseorang yang masih belum didakwa atau hanya dituduh bagi tujuan siasatan?

“Sesiapa pun boleh buat tuduhan kepada orang yang dia tak suka. Pihak berkuasa hanya perlu menangkap individu sekiranya cukup bukti untuk didakwa,” katanya lagi. – Roketkini.com