Berita

Speaker terus halang soalan mengenai skandal 1MDB

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Skandal 1MDB terus cuba disembunyikan apabila Dewan Rakyat hari ini menolak empat soalan yang dikemukakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Situasi ini katanya mengulangi tindak-tanduk sidang Parlimen dalam sesi lalu apabila 30 soalan ahli-ahli parlimen berkaitan skandal 1MDB ditolak dengan pelbagai alasan tidak munasabah.

“Saya kesal dengan keputusan Tan Sri Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang menolak empat pertanyaan jawab lisan saya,” kata beliau dalam sidang media hari ini di Parlimen.

Menurutnya, tindakan Speaker menolak soalan yang dikemukannya hari ini disifatkan sebagai tindakan terdesak kerajaan Barisan Nasional memperalatkan Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat dengan menghalang soalan yang dikemukakan dalam parlimen.

Empat soalan yang ditolak itu katanya menggesa agar Parlimen memberikan penjelasan terhadap isu pengenaan kompaun Bank Negara Malaysia ke atas 1MDB, isu pematuhan 1MDB terhadap penarikan balik pelaburan oleh Bank Negara dan isu membawa pulang kembali aset-aset yang dirampas oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ).

Ekoran itu, pihaknya mengemukakan suatu usul di bawah Peraturan 99 Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi menyemak dan menentang keputusan Yang di-Pertua.

“Menurut Peraturan 99 itu, ia memadai dengan usul bersendiri seorang ahli namun kami telah mengemukakan usul bersendiri itu dengan ditandatangani oleh lebih daripada 60 ahli parlimen pembangkang yang merangkumi dari Parti KEADILAN, DAP, Parti AMANAH, PPBM, WARISAN serta PAS. Namun bagaimanapun, usul itu ditolak tanpa alasan,” jelas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Empat soalan yang telah ditolak Speaker Dewan Rakyat termasuklah permintaan supaya Perdana Menteri menyatakan mengapakah Peguam Negara masih tidak menjalankan pendakwaan jenayah dibawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA) seperti yang disyorkan oleh Bank Negara Malaysia atas kesalahan 1MDB yang jelas melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 sehingga dikenakan kompaun sebanyak RM 115.8 juta.

Wan Azizah turut meminta Menteri Kewangan menyatakan sejauh mana pematuhan oleh 1MDB terhadap arahan yang telah dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia supaya membawa pulang pelaburan RM 7.8 bilion setelah pembatalan 3 kebenaran yang  telah diberikan dibawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA) bagi pelaburan 1MDB diluar negeri.

Beliau turut meminta Perdana Menteri menyatakan adakah Perdana Menteri telah membangkitkan isu aset-aset yang dirampas oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) agar dikembalikan kepada Malaysia ketika pertemuan bersama Presiden Amerika Syarikat Donald Trump; jika tidak perkara ini dibangkitkan minta Perdana Menteri menyatakan kenapa tidak berbuat demikian.

Perdana Menteri turut diminta menyatakan kos yang ditanggung oleh kerajaan bagi membiayai urusan lobi menemui Presiden Donald Trump, serta perbelanjaan meliputi penginapan di Trump International Hotel bersama delegasi.

Tegasnya, persoalan yang dibangkitkan bukan hanya berkaitan kompaun yang dikenakan oleh Bank Negara terhadap 1MDB dan penarikan balik pelaburan tetapi juga tindakan perundangan terhadap kesalahan jenayah 1MDB yang berada dibawah bidang kuasa Perdana Menteri.

“Sudah dua tahun berlalu Bank Negara mencadangkan agar pendakwaan jenayah diambil oleh Jabatan Peguam Negara ke atas 1MDB namun sehingga ke hari ini masih tidak ada sebarang pendakwaan. Kenapa Pejabat Peguam Negara tidak bertindak atas cadangan Bank Negara?

“Apakah ini merupakan langkah terkini bagi menutup pendakwaan yang melibatkan skandal 1MDB yang bakal menyeret Datuk Seri Najib Razak?” soal beliau. – Roketkini.com