Berita

Tanah runtuh: Kerajaan negeri arah MBPP buat laporan polis siasat kecuaian tapak pembinaan

GEORGE TOWN, 23 OKT: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah diarahkan oleh kerajaan negeri supaya membuat laporan polis berhubung kemalangan di tapak pembinaan projek perumahan di Tanjung Bungah pada Sabtu lepas.

Ini bagi membolehkan polis untuk memulakan siasatan dan seterusnya mendakwa pihak yang didapati cuai dalam memastikan keselamatan di tapak pembinaan tersebut, kata Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow.

“Ini sejajar dengan Seksyen 304(b) dan 304A Kanun Keseksaan supaya pihak yang didapati melanggarinya akan memikul tanggungjawab undang-undang,” katanya yang juga Adun Padang Kota dalam kenyataan, hari ini.

“Pihak Kerajaan Negeri akan mengarahkan MBPP dan semua agensi Kerajaan Negeri untuk memberi kerjasama dalam siasatan oleh pihak polis, semoga siasatan dapat disempurnakan dengan kadar segera.”

11 orang dilaporkan terkorban dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan di Lorong Permai 3, Tanjung Bungah pada Sabtu lepas.

Kesemua mangsa terdiri daripada 10 warga Bangladesh dan seorang warga Malaysia yang merupakan penyelia tapak.

Sementara itu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam kenyataan semalam berkata, Suruhanjaya Siasatan Negeri Pulau Pinang ke atas kemalangan itu akan ditubuhkan mengikut kuasa di bawah Seksyen 2(3)(d) dan 3(1) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

“Penubuhan dan terma rujukan akan dilaksanakan dan diluluskan dalam mesyuarat Exco yang akan datang minggu depan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Katanya yang juga Setiausaha Agung DAP, pemaju tidak akan dibenarkan memulakan kerja pembinaan projek berkenaan sehingga Suruhanjaya Siasatan melengkapkan siasatannya.

“Kontraktor bangunan yang menjalankan kerja-kerja pembinaan akan disenarai hitam oleh MBPP, bersama-sama dengan mana-mana pakar perunding yang terlibat secara langsung, sementara menunggu hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan,” ujarnya. – Roketkini.com