Berita

Turunkan kadar inflasi perlu jadi keutamaan Belanjawan 2018 – Tony Pua

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Belanjawan 2018 yang akan dibentangkan Jumaat ini perlu memberi tumpuan untuk mengurangkan kadar inflasi yang semakin meningkat kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

“Satu-satunya cabaran ekonomi terbesar yang perlu diberi tumpuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Belanjawan 2018 ialah kenaikan kadar inflasi,” katanya dalam sidang media di Parlimen sebentar tadi.

Menurut Tony, sekiranya Najib cuba menutup isu tersebut memandangakan pilihan raya semakin hampir, rakyat Malaysia akan terus berdepan dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi disamping kadar gaji yang rendah dan peningkatan pengangguran terutamanya dikalangan belia.

“Kita boleh jangka Datuk Seri Najib akan mencangangkan tentang peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu sebanyak 5.7 peratus dalam separuh pertama 2017 – dengan mencatatkan perkembangan 4.8 peratus pada 2017.

“Persoalannya, jika ekonomi Malaysia dikatakan bagus, mengapa rakyat biasa merasa semakin terbeban?” soalnya.

Katanya, peningkatan kadar inflasi yang memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat telah mencatatkan rekod sejak krisis kewangan dunia sedekad lalu.

“Malaysia telah merekodkan kadar inflasi sebanyak 4.3 peratus setahun pada September, yang tertinggi sejak bulan Mac diakibatkan oleh peningkatan kos pengangkutan dan harga bagi makanan dan minuman bukan alkohol,” jelas Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu.

Menurut indeks harga pengguna (CPI) yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik pada Jumaat lalu, segmen pengangkutan mencatatkan peningkatan 15.8 peratus akibat kenaikan harga minyak manakalan bgi makanan dan minuman bukan alkohol menigkat sebanyak 4.6 peratus.

Katanya, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April 2015 menyebabkan kenaikan kadar inflasi sebanyak 2.1 peratus manakala pada tahun 2016, kadar inflasi dicatatkan tidak berubah berbanding tahun 2017.

Apa yang menghairankan katanya, menteri-menteri BN terus beranggapan kenaikan kadar inflasi itu hanyalah bersifat sementara “one off” dan akan menurun selepas setahun pelaksanaan GST.

“Bagaimana pun, CPI itu bukan saja tak berubah malah melonjak kepada empat peratus pada 2017 yang menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan pentadbiran BN,” katanya lagi. –Roketkini.com