Berita

DAP cadang pas bulanan pengangkutan awam, ringankan beban kos sara hidup

PETALING JAYA, 26 OKT: Pas bulanan pengangkutan awam dengan harga RM100 bagi perjalanan tanpa had perlu dimasukkan sebagai salah satu agenda dalam Belanjawan 2018 yang akan dibentangkan kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) esok.

Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran berkata, inisiatif berkenaan dapat membantu golongan berpendapatan rendah yang terbeban dengan kos sara hidup serta meningkatkan jumlah penumpang pengangkutan awam.

“Tambang pengangkutan awam ditentukan berdasarkan jarak, ini bermakna mereka yang tinggal jauh daripada pusat bandar terpaksa membayar lebih tambang, dan mereka yang tinggal jauh daripada bandar adalah kebanyakannya golongan miskin.

“Dengan kos pengangkutan awam RM10 sehari bagi perjalanan ulang alik, ia pastinya membebankan rakyat, lebih-lebih golongan pekerja dan pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya lagi, penyedia perkhidmatan pengangkutan awam juga gagal mencapai jumlah sasaran penumpang sehari akibat daripada harga tambang yang mahal.

“MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang hanya mampu menarik 140,000 penumpang sehari, jauh daripada kapasitinya yang boleh membawa 400,000 penumpang sehari.

“Perkhidmatan bas di negara ini juga tidak mampu mencapai jumlah 500 penumpang sehari, berbanding dengan Singapura yang mampu menarik 1,100 penumpang sehari,” ujarnya yang juga Penolong Setiausaha Publisiti Sosialis Muda DAP (DAPSY).

Kata Rajiv, sudah tiba masanya untuk kerajaan memberi ganjaran kepada pengguna pengangkutan awam yang telah banyak membantu mengurangkan kesesakan trafik di ibu kota dengan pengenalan pas bulanan RM100 tanpa had tersebut.

Pas bulanan tersebut adalah sebahagian daripada perkara yang diperkenalkan Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam Belanjawan Alternatif 2018 yang dibentangkan mereka semalam.

Ia adalah sebahagian daripada penyelesaian kepada masalah kos sara hidup yang semakin meningkat. – Roketkini.com