Berita

Mana belanjawan alternatif PAS?

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) membentangkan Belanjawan Alternatif 2018 mereka semalam, dua hari lebih awal daripada kerajaan, namun bagaimana pula dengan PAS yang bercita-cita ingin menjadi ‘Kingmaker’ dalam politik Malaysia?

Adakah PAS tidak mempunyai belanjawannya sendiri untuk dibentangkan? Atau fungsinya hanya untuk membawa usul persendirian RUU355 oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tanpa mempedulikan tentang hal lain?

Demikian yang dipersoalkan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dalam kenyataan hari ini sambil menegaskan bahawa pertanyaan itu tidak bermaksud untuk merendah-rendahkan parti Islam berkenaan.

“Tetapi PAS pastinya berhadapan banyak persoalan jika parti pembangkang yang mesra-Najib ini tidak mampu mengemukakan belanjawannya sendiri menjelang esok sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan belanjawan Barisan Nasional di Parlimen.

“Jadi saya teringin mahu tahu. Adakah PAS akan menjadi pembonceng belanjawan Najib Razak pada esok hari memandangkan kini ramai pimpinan utama PAS begitu rapat dengan Perdana Menteri?” soalnya.

Belanjawan Alternatif 2018 yang juga dikenali sebagai Belanjawan Rakyat berikrar antaranya untuk menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), memansuhkan tol dan mengurangkan bebanan kos sara hidup yang ditanggung rakyat.

Pasukan Petugas Belanjawan Alternatif 2018 semalam turut menegaskan bahawa belanjawan tersebut adalah bersifat realistik dan tidak populis seperti didakwa sesetengah pihak, malah taklimat turut dibuat bagi menerangkan bagaimana GST dapat dihapuskan.

Mengulas lanjut, Lip Eng yang Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan berkata, pihak BN nampaknya seolah-olah menerima baik belanjawan HARAPAN apabila tidak kedengaran kritikan yang banyak terhadap inisiatif gabungan pembangkang itu.

“Pimpinan Barisan Nasional nampaknya tidak banyak bunyi setelah belanjawan ini dilancarkan. Ini menjadi isyarat bahawa cadangan-cadangan dalam belanjawan alternatif Pakatan Harapan adalah baik untuk rakyat,” ujarnya. – Roketkini.com