Berita

Jangan biar parti dimusnahkan – Lim Guan Eng

SHAH ALAM, 12 NOV: Setiausaha Agung, Lim Guan Eng berkata DAP tidak ada pilihan lain selain mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat meski pun arahan yang dilakukan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) ‘tidak masuk akal dan tidak perlu dilaksanakan sama sekali’.

“Ini adalah penting kerana DAP diancam dengan kemungkinan dibatalkan pendaftarannya sebagai sebuah parti yang sah.

“Dengan itu, kita bersetuju untuk mengadakan pemilihan baru CEC ini, menggunakan senarai yang sama seperti yang ada pada pemilihan 15 Disember 2012.

“Kita juga bersetuju untuk melantik auditor bebas untuk mengendalikan pemilihan baru ini,” katanya ketika berucap di Kongres Khas DAP dekat sini sebentar tadi.

Bagaimana pun menurutnya, tidak wujud demokrasi dalam kongres kali ini memandangkan hanya perwakilan sahaja dibenarkan hadir.

“Banyak ahli parti tidak dapat hadir Kongres Khas hari ini kerana ROS telah menghadkannya untuk perwakilan sahaja. Tiada demokrasi, tiada penyertaan; ia seperti menonton permainan bolasepak di dalam sebuah stadium tanpa penonton,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu. – Roketkini.com