Berita

Bagaimana SPR boleh gagal daftarkan 3.8 juta pengundi baru?

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Kekurangan Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) merupakan salah satu punca kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendaftarkan pengundi baru negara ini kata Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching.

Kelembapan mendaftarkan pengundi baru itu katanya boleh diatasi sekiranya SPR melaksanakan pendaftaran secara automatik atau sekurang-kurangnya melantik lebih ramai wakil parti-parti politik bagi membantu proses pendaftaran pengundi.

Beliau melahirkan rasa kecewa apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman dalam jawapan bertulis 25 Oktober lalu mendedahkan, terdapat hanya 205 Penolong Pendaftar Pemilih di seluruh negara, iaitu kurang empat peratus berbanding tahun 2011.

“Sebelum ini, parti-parti politik dari kedua-dua pihak berjaya menggerakkan kempen mendaftarkan pengundi baru menggunakan dana mereka sendiri di kawasan pasar, pasar malam, pusat membeli belah tanpa sebarang dana dari SPR.

“Jadi mengapa sehingga sekarang, SPR gagal memberi penjelasan mengapa Penolong Pndaftar Pemilih membuat keputusan menggugurkan pegawai-pegawai dari parti politik ini?” soalnya.

Nie Ching berkata, pada tahun 2011, terdapat 5,720 PPP dan berjaya mempantu SPR mendaftarkan 1,023,170 pengundi baru dalam tahun yang sama.

“Bagaimana pun, jumlah PPP menurun kepada 4,777 pada 2012. Bilangan pengundi baru juga jatuh mendadak sebanyak 30 peratus pada 2012,” ujarnya.

Beliau berkata, hanya 195,193 pengundi baru berjaya didaftarkan pada 2013 manakala bilangan PPP pula berkurangan kepada hanya 1,901 orang memandangkan keputusan SPR yang tidak menyambung tempoh pelantikan berkenaan mahu pun lantikan baru.

“PRU14 semakin hampir, tetapi seramai kira-kira 3.8 juta rakyat yang layak masih belum mendaftar sebagai pengundi.

“Ini bermakna, daripada 10 rakyat Malaysia yang layak mengundi, dua daripada mereka tidak layak,” katanya lagi. – Roketkini.com