Berita

Razali Ibrahim mahu 1MDB disiasat perlahan-lahan macam mana lagi?

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wira Razali Ibrahim yang dilaporkan menggesa agar semua pihak bersabar dalam menunggu hasil siasatan ke atas syarikat bermasalah milik negara, 1MDB membangkitkan persoalan.

“Orang Cina kata man man lah man-man (perlahan-lahan lah, perlahan-lahan).

“Jadi kita tunggu perkara yang sedang disiasat oleh pihak berkaitan, insya allah kebenaran itu akan terbukti,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Memberi respon kepada kenyataan Razali itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, tindakan kerajaan melayan skandal 1MDB seolah-olah ia bahan jenaka menunjukkan betapa buruknya amalan siasatan terpilih di negara ini.

“Laporan polis pertama terhadap 1MDB dibuat pada 2014. Pada Jun 2015 Menteri Dalam Negeri berkata bahawa kertas siasatan telah dirujuk kepada Peguam Negara pada Mac.

“Ini bermakna sudah lebih dua tahun berlalu, kertas siasatan itu masih berpindah tangan antara Peguam Negara dan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau membuat perbandingan dengan merujuk siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang dilakukan dalam tempoh dua bulan, berbeza dengan siasatan skandal 1MDB yang sehingga kini masih belum selesai.

Tony justeru mempersoalkan mengapa tahap kecekapan yang ditunjukkan pihak berkuasa dalam menyiasat pemimpin pembangkang tidak berlaku dalam skandal 1MDB.

“Dengan kehilangan berbilion ringgit dana awam negara yang dipercayai digunakan bagi menampung gaya hidup sesetengah pihak, perlu untuk kami bertanya siapa sebenarnya yang kerajaan pertahankan? – rakyat atau penyangak yang berada di tampuk kuasa?” soalnya. – Roketkini.com.