Berita

Biar ERL naikkan tambang daripada rakyat tanggung rugi selama 30 tahun

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Kerajaan sepatutnya membenarkan Expressrail Link Sdn Bhd (ERL) menaikkan tambang perkhidmatannya daripada memilih untuk memanjangkan tempoh konsesi syarikat itu selama 30 tahun, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Tindakan melanjutkan tempoh konsesi itu, katanya, akan merugikan rakyat dan menguntungkan syarikat pengendali pengangkutan awam berkenaan yang diketahui mengalami penurunan jumlah penumpang susulan kenaikan tambang sebelum ini.

“Kerajaan harus membenarkan ERL menaikkan tambangnya. jika ERL melakukannya, dan mengalami kerugian kerana kekurangan penumpang, kerajaan mempunyai hak mengikut perjanjian konsesi untuk mengambil alih semula perkhidmatannya.

“Bagaimanapun, jika ERL memilih untuk tidak menaikkan tambangnya walaupun dibenarkan berbuat demikian oleh kerajaan, maka pembayar cukai terlepas daripada sebarang kewajipan untuk membayar ganti rugi kepada ERL,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Karpawi dalam jawapan Parlimennya pada Rabu lepas mengesahkan penumpang ERL berkurangan sebanyak 19 peratus selepas kenaikan tambang daripada RM35 kepada RM55 pada 1 Januari 2016.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan sebelum ini telah tiga kali menolak permintaan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) untuk mengkaji semula tambang kereta api itu.

Susulan itu, menurut Aziz, kerajaan memberikan lanjutan kontrak konsesi 30 tahun, yang akan tamat 2029, kepada ERL.

Lanjutan konsesi itu kata Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP membangkitkan persoalan mengenai niat sebenar kerajaan menghalang ERL menaikkan harga tambangnya.

“Persoalan untuk kerajaan, adakah kerajaan cuba untuk melindungi rakyat dengan tindakan menghalang ERL menaikkan tambangnya, atau ia hanyalah topeng untuk menyelamatkan ERL dan syarikat berkaitan kroni?

Konsesi kereta api itu, katanya, telah dianugerahkan pada 1999 melalui rundingan langsung dengan ERL, yang sebahagian besar sahamnya dimiliki oleh YTL – sebuah syarikat yang dipercayai milik kroni UMNO-Barisan Nasional (BN). – Roketkini.com