Rencana

Menjadi sahabat Hannah Yeoh

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh terus-menerus mendapat perhatian media propaganda lawan.

Sebelum ini, buku beliau ‘Becoming Hannah’ pernah difitnah sebagai alat propaganda dan merupakan usaha halus kristianisasi di Malaysia.

Malah Hannah yang juga Speaker DUN di Selangor, juga dikaitkan dengan satu program dakwah keagamaan yang diadakan di Shah Alam beberapa bulan lepas.

Beliau sekali lagi mendapat perhatian umum apabila difitnah menolak satu usul memperkasa Mahkamah Syariah yang mahu dikemukakan oleh Adun Permatang dari Umno.

Sebaliknya, ruang untuk Adun tersebut berbahas mengenainya hanya digunakan untuk memfitnah beliau di luar dewan.

Lantikan ke CEC

Terkini, Hannah sekali lagi menjadi sasaran mudah Umno dan penyokong mereka, selepas beliau dilantik menganggotai CEC DAP yang baru sahaja selesai mengadakan pemilihan semula mereka Ahad lepas.

Lantikan beliau itu kononnya mengesahkan bahawa DAP sebuah parti yang mempunyai agenda kristianisasi dan beliau merupakan sebahagian daripadanya.

Saya simpati dengan fitnah bertali-arus buat sahabat saya ini. Saya mula merasakan serangan demi serangan ke atas beliau sudah keterlaluan.

Seingat saya, Hannah tidak pernah berkongsi, bercerita atau ‘berdakwah’ mengenai amalan agamanya dengan saya.

Beliau malah suka untuk mendengar dan bertanyakan mengenai orang Islam kepada saya, sesuai dengan amanah yang terpikul di bahunya sebagai mewakili rakyat berbilang bangsa dan agama di dalam kawasannya.

Takut kelaparan

Saya masih ingat bilamana cawangan kami merancang untuk mengadakan jamuan berbuka puasa di Subang Jaya.

Dalam perbincangan kami, saya mencadangkan tetamu yang datang berbuka puasa dengan hanya minum dan makan sebiji-dua buah kurma terlebih dulu.

Mereka kemudiannya akan solat maghrib dan barulah menjamah makanan berat selepas itu.

Cadangan saya itu rupanya merisaukan Hannah.

Kerana menurutnya, untuk tidak makan dan minum seharian seperti yang kami lakukan adalah satu cabaran berat buat dirinya.

Beliau risau tetamu akan kelaparan jika waktu untuk makan berat sudah agak lewat.

Maka, kami membuat sedikit kelonggaran daripada cadangan saya itu.

Kenal secara peribadi

Potensi dan bakat kepimpinan beliau tentunya dibentuk dengan ketaatan kepada agamanya.

Namun, kami tidak pernah berbahas mengenai agama masing-masing. Hannah seolah-olah tidak membenarkan walau sedikit pun ruang untuk dirinya atau sesiapa saja mengambil kesempatan atas tujuan membuat provokasi agama di kalangan kami.

Toleransi saya sebagai seorang Muslim dan ketaatan beliau akan agamanya menjadikan kami jujur dan wujud rasa hormat di antara satu sama lain setiap masa.

Islam yang saya imani tidak sedikit pun tergugat selama saya berkerja dan berkawan dengannya. Malah semakin saya mendalami Islam, semakin saya faham akan keperluan sikap toleransi sebegini.

Akidah saya tidak sedikit pun terusik hanya kerana Hannah Yeoh taat kepada agama Kristiannya. Beliau malah memperlihatkan akhlak yang baik sesuai untuk menjaga nama baik agamanya juga.

Islam juga mendidik saya dengan kekuatan untuk mempertahankan akidah ini. Mempunyai sahabat yang taat kepada agamanya sudah tentu melegakan saya dan ia sepatutnya melegakan kita semua juga.

Hannah boleh saja menjadi sahabat yang jujur dan telus dalam perjuangan yang serba payah ini.

Saya percaya, mereka yang memfitnah beliau akan menghargai keikhlasan dan iltizam beliau jika mereka berpeluang mengenalinya sebagaimana saya.

Jika saya mempunyai mesin masa untuk memutar kembali waktu dan sejarah hidup saya, saya pastinya akan kekalkan bahagian ini – menjadi sahabat Hannah Yeoh. – Roketkini.com

*Nor Miswary adalah Pengerusi DAP Cawangan USJ, Subang Jaya