Berita

Bakat belia Orang Asli dalam sukan bola sepak perlu diketengahkan – M. Manogaran

CAMERON HIGHLANDS, 27 NOV: Bakat terpendam masyarakat Orang Asli dalam bidang sukan bola sepak negara ini perlu diketengahkan secara serius, kata Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran.

Menurutnya, sukan bola sepak mampu menggilap lebih ramai bakat dikalangan belia komuniti pribumi itu sekaligus memperkasa dan mengubah taraf hidup mereka.

Kredit foto: Siva Seelan | Tamil Rocket

Saranan ini dibuat ekoran kurangnya penglibatan dari komuniti itu diketengahkan dalam bidang sukan arus perdana negara ini khususnya bidang bola sepak.

“Kita perlu angkat, beri peluang dan ruang kepada masyarakat Orang Asli untuk pergi jauh dalam sukan terutamanya bola sepak.

“Saya lihat presentasi mereka dalam bidang sukan sangat kurang – langsung tiada dalam bola sepak di peringkat lebih tinggi.

“Sebab itu saya ingin melakukan sesuatu melalui bola sepak sebab ia boleh mengubah taraf hidup serta pencapaian mereka selain memberi sumbangan besar dalam arena sukan bola sepak negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Roketkini dalam Perlawanan Bola Sepak Tertutup Piala Manogaran di Kampung Tual, Pos Senderut dekat sini semalam.

Dalam kejohanan itu, sebanyak 19 pasukan daripada 13 buah kampung mengambil bahagian dalam acara yang berlangsung yang bermula sejak 25 November dan berakhir pada 26 November.

Manogaran mencadangkan supaya pasukan bola sepak negeri Perak, Pahang dan Johor memberi ruang mengetengahkan bakat-bakat baru pemain dari kalangan belia Orang Asli.

“Negeri Perak, Pahang dan Johor memiliki populasi masyarakat Orang Asli yang ramai tapi kita tidak melihat penglibatan mereka dalam sukan bola sepak di peringkat yang lebih tinggi.

“Jadi disini kerajaan negeri mahu pun di peringkat Persekutuan mestilah serius dan ketengahkan mereka. Jika tidak ketengahkan, macam mana mereka mahu tunjukkan bakat?” katanya lagi.

Pasukan yang meraih johan bagi acara itu membawa pulang Piala Manogaran pingat emas dan wang tunai berjumlah RM1,000.

Tempat kedua pula menerima pingat perak dan wang tunai RM800 manakala tempat ketiga dan keempat memperoleh hadiah wang tunai sebanyak RM500.

“Perlawanan ini adalah permintaan penduduk selama ini, mereka amat berminat dengan sukan bola sepak dan saya melihat mereka memang mempunyai bakat besar dalam sukan ini.

“Selepas ni saya merancang untuk meneruskan kejohanan ini kepada kaum wanita pula. Saya tengok hari ini pemain-pemain banyak bakat dan ada potensi untuk diketengahkan,” katanya lagi. – Roketkini