Berita

Adakah PAU2017 berani bahas skandal 1MDB?

Perhimpunan Agung UMNO ke 71 yang membuka tirai bermula hari ini bakal menguji adakah parti paling dominan dalam Barisan Nasional (BN) itu benar-benar komited memerangi penyelewengan rasuah atau sekadar bermain retorik menyedapkan hati penyokong mereka.

Dengan kata lain, adakah pemimpin dan perwakilan UMNO berani buka mulut terhadap ‘jenayah’ rasuah terbesar dunia 1MDB yang telah meletakkan Malaysia dikenali sebagai negara kleptokrasi global?

Peguam Negara Amerika Syarikat (AS), Jeff Session dalam ucapannya di Global Forum Global on Asset Recovery di Washington semalam mendedahkan, hampir separuh ‘hasil rasuah’ berjumlah AS$3.5 bilion yang dirampas kerajaan AS melibatkan skandal 1MDB.

Beliau juga mendedahkan pegawai yang didakwa melakukan rasuah tersebut telah menggunakan dana 1MDB untuk perbelanjaan mewah di California Selatan dan New York dalam pemilikan hartanah, karya seni, muzik dan kapal layar.

“Tiada kleptokrasi lain yang dikatakan Session melainkan skandal 1MDB.

“Daripada ucapan Session, kita melihat skandal 1MDB sahaja sudah mewakili hampir separuh dari AS$3.5 bilion yang dirampas Jabatan Kehakiman (DOJ) AS sejak tahun 2004,” kata Ketua PArlimen DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataannya hari ini.

Tambahnya, kerajaan AS telah pun mengembalikan jutaan dollar sebagai pampasan kepada mangsa kleptokrasi melibatkan kira-kira AS$119 juta kepada rakyat Itali, AS$115 juta kepada rakyat Kazakhtan, lebih AS$20 juta kepada rakyat Peru dan jutaan lagi kepada Nicaragua, Korea Selatan dan Taiwan.

Persoalannya saat ini kata Kit Siang, “Adakah Perhimpunan Agung UMNO kali ini akan membincangkan dengan serius skandal 1MDB – kleptokrasi paling parah peringkat global, dan mendesak dana yang diselewengkan itu dikembalikan kepada rakyat Malaysia?” soal beliau. – Roketkini