Berita

Skandal hartanah Johor: Khaled patut minta SPRM siasat dirinya bagi bersihkan nama

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin harus meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dirinya bagi membuktikan beliau tidak terlibat dengan skandal hartanah di Johor, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

“Pada masa yang sama, kami terus menyeru SPRM menyiasat tuduhan rasuah terhadap Menteri Besar Johor supaya institusi SPRM menjalankan tugas mereka dengan penuh integriti, dan tidak dilihat berat sebelah,” kata Tony dalam kenyataan, hari ini.

Gesaan ini dibuat susulan kenyataan Khaled yang menafikan penglibatannya dalam skandal berkenaan.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tak berasas tersebut. Ia adalah fitnah, tidak benar dan tidak bersangkutan dengan saya.

“Pentadbiran saya tidak menerima apa-apa suapan, tidak akan menerima apa-apa suapan dan akan menentang segala usaha untuk memberi apa jua bentuk suapan kepada saya dan pentadbiran saya,” kata Khaled seperti dilaporkan media, semalam.

Penafian itu berikutan kebocoran dokumen kenyataan saksi SPRM, Amir Shariffuddin Abd Raub yang menuduh Khaled menerima RM12 juta daripada beliau pada tarikh-tarikh tertentu.

Amir adalah saksi yang sama kepada kes rasuah hartanah membabitkan bekas Exco Johor, Datuk Abdul Latif Bandi yang kini menghadapi pertuduhan di mahkamah.

SPRM mengesahkan kesahihan dokumen tersebut, meskipun Amir mendakwa kenyataan dalam dokumen yang bocor di internet beberapa minggu lepas itu tidak lengkap dan telah membuat laporan polis.

Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP dalam pada itu turut mempersoalkan mengapa agensi anti rasuah itu tidak menyiasat Khaled jika benar pemimpin UMNO itu tidak terlibat dalam skandal terbabit.

“Akan tetapi, jika Menteri Besar benar-benar tidak bersalah, kenapa SPRM langsung tidak menjalankan sebarang siasat terhadapnya supaya kebenaran dapat ditetapkan dan kes ini boleh ditutup?

“Apatah lagi, jika kenyataan saksi Amir Shariffuddin digunakan untuk mendakwa kes Datuk Abdul Latif, bukankan ianya penting bahawa kenyataan beliau adalah benar dan boleh dipercayai pada keseluruhannya?” soalnya. – Roketkini.com