Berita

RCI babit nama Mahathir hanya untuk halang HARAPAN tawan Putrajaya

Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tentang kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an sebagai bermotifkan politik.

Ini kerana, kata Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu, kebanyakan maklumat yang diberikan oleh saksi kepada RCI berkenaan tidak muncul dalam laporan tersebut.

“Maklumat oleh saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Nor Yaakob tidak termasuk dalam laporan ini,” katanya dalam video yang dimuat naik di Facebook rasmi PPBM, hari ini.

“Mereka (RCI) memilih-milih apa yang mereka masukkan dalam laporan RCI dan ia bertujuan untuk memburukkan nama orang tertentu, termasuk saya, supaya tindakan undang-undang boleh diambil terhadap saya,” tambahnya.

Menurut beliau yang juga Pengerusi PPBM, tindakan sebegitu tidak akan berlaku jika beliau tidak memimpin pembangkang seperti sekarang.

“Kalau (saya) tak pimpin parti lawan, saya ingat (rasa) saya (akan) selamat,” ujarnya yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun ketika bersama Barisan Nasional (BN).

Beliau turut menempelak kerajaan UMNO-BN kerana enggan menubuhkan RCI bagi menyiasat skandal terkini tetapi sebaliknya memilih untuk menubuhkan suruhanjaya itu bagi menyiasat perkara yang berlaku 30 tahun lalu dan telahpun diselesaikan.

“(Isu ini) telah diselesaikan sudah lama. Tetapi perkara yang berlaku sekarang ini, iaitu penyelewengan Datuk Seri Najib berkenaan dengan duit yang terdapat dalam akaunnya sebanyak RM2.6 bilion pula disembunyi dan tidak ada RCI dibuat,” katanya.

Menurut beliau, ini adalah contoh sebuah pentadbiran yang pilih kasih dan menyalahgunakan kuasa semata-mata untuk menghalang kemaraan pihak pembangkang.

“Ini (laporan RCI) sebenarnya adalah tindakan politik, tidak sama sekali berkaitan dengan undang-undang.

“Kalau undang-undang nak dikuatkuasakan, saya gesa supaya diadakan RCI untuk (menyiasat) 1MDB dan juga untuk duit sebanyak RM2.6 bilion yang ada dalam akaun Datuk Seri Najib.

“Inilah yang patut diselidik, kerana ini sedang berlaku dan mempunyai kesan hari ini,” katanya. – Roketkini.com