Rencana

Khaled Nordin berperangai seperti “JO1”

DAP Johor menyatakan solidariti kepada Yusuf Al-Siddique Suratman, atau lebih dikenali sebagai penulis blog Milosuam, yang ditahan pada 8 Disember 2017 dan direman tiga hari oleh polis berhubung kes yang didakwa rasuah melibatkan Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin.

Yusuf disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan. Seksyen 233 akta itu menetapkan penggunaan “kemudahan rangkaian” atau “perkhidmatan” bagi menyebarkan maklumat yang dianggapserangan dan menyebabkan gangguan adalah tindakan jenayah. Seksyen 203A Kanun Keseksaan pula berkait dengan “pendedahan maklumat”.

Difahamkan, milosuam.net memuatnaik artikel yang mengandungi muka surat apa yang kelihatan seperti kenyataan saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kenyataan saksi itu dikatkan dengan Amir Sharifuddin Abd Raub yang pada awal tahun ini didakwa atas tuduhan rasuah dan panggubahan wang haram, yang turut didakwa melibatkan bekas exco Johor Abdul Latif Bandi.

SPRM kemudian mengesahkan dokumen itu telah dibocorkan.

Khaled menafikan dakwaan rasuah, malah telah menuduh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wong Shu Qi melanggar undang-undang pecah rahsia apabila menyebut perkara itu dalam ucapannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 27 November 2017. Wong sebelum itu meminta Khaled menjawab dakwaan rasuah ke atasnya.

Wong juga telah dirakamkan keterangannya oleh polis Johor pada Jumaat lalu berhubung ucapannya dalam DUN Johor pada 27 November.

Sempena Perhimpunan Agung Umno yang baru selesai di Kuala Lumpur baru-baru ini, Khaled turut memberikan “amaran” kepada Wong.

DAP Johor mengecam tindakan Khaled memberikan amaran kepada Wong dan mempersoalkan SPRM yang tidak mengadakan siasatan ke atas Khaled sejak skandal itu diketahui umum pada Februari 2017. SPRM juga seperti tidak berhasrat menyiasat Khaled dalam dua minggu terakhir ini sejak Wong mengajukan soalan tersebut pada 27 November.

Sebaliknya, Yusuf atau Milosuam yang ditahan sementara Wong dipersoal. Sedangkan Wong dalam kapasiti sebagai Adun yang bercakap dalam DUN, tidak seharusnya dipanggil untuk beri keterangan kepada polis kerana ia melanggar hak DUN.

Adakah Khaled bakal menjadi Johor Officer 1 seperti Malaysian Official 1 (MO1) – yang tidak terikat dengan undang-undang dan kebal dari siasatan, malah telah “dibersihkan” namanya tanpa sebarang siasatan daripada pihak berkuasa?

Tindakan terhadap Yusof dan Wong hanyalah taktik membuli bagi menutup krisis utama sebenar dalam Umno Johor. Sesiapa yang biasa dengan politik Malaysia akan tahu pendedahan yang mengaitkan Menteri Besar Johor seperti itu hanya boleh datang dari dalam Umno sendiri.

Dalam artikel saya pada 30 Jun 2017, saya menulis:

Strategi licik Najib memakan diri sendiri”, “Pemilihan Khaled Nordin sebagai Menteri Besar Johor dalam pilihan raya umum 2013 lebih merupakan pilihan Sultan berbanding merupakan sekutu Najib. Pada tempoh awal pemecatan Muhyiddin Yassin daripada Kabinet ekoran skandal 1MDB pada Julai 2015, Khaled dilihat cuba menjauhkan diri daripada perdana menteri. Saya diberitahu Khaled telah meminta bantuan bagi melihat kemungkinan pengundian berasingan dilakukan. Rakan saya dalam Umno berpendapat aktiviti SPRM di Johor dan Melaka adalah berkait dengan percubaan memindahkan Khaled dan Idris ke persekutuan dan menggantikan mereka dengan pemimpin-pemimpin yang lebih setia dengan Najib.”

Nasihat saya kepada Khaled agar berhati-hati kerana ada orang di kalangan Umno yang mahu melihatnya tersungkur. Lebih baik beliau berterus-terang berkenaan dakwaan terhadapnya agar beliau dapat menyelamatkan sisa kredibiliti yang masih ada. Sekiranya Khaled disingkirkan oleh Umno, setidaknya beliau boleh berbangga di hadapan rakyat jika beliau dilihat sebagai pemimpin yang jujur.

Bagaimanapun, nampaknya Khaled mengikut jejak langkah MO1 yang bersembunyi di belakang polis, SPRM dan institusi lain daripada berdepan dengan rakyat. Demikian kisah JO1 yang menyedihkan. – Roketkini.com