Berita

SPR wajar tambah kerusi Parlimen di Selangor, tepati prinsip ‘satu orang, satu undi’

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disaran merombak semula cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Selangor yang dirangkanya bagi memastikan ia menepati prinsip ‘satu orang, satu undi’ yang menjadi asas sistem demokrasi.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, terdapat jurang jumlah pengundi yang besar antara kawasan Parlimen di Selangor berdasarkan cadangan tersebut.

Beliau berkata demikian susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada Isnin lepas mengetepikan perintah sementara oleh Mahkamah Tinggi, sekaligus membolehkan SPR meneruskan siasatan awam ke atas Selangor berhubung persempadanan semula.

“Mana-mana orang yang munasabah dapat melihat betapa tidak adil cadangan persempadanan semula tersebut.

“Daripada meneruskan siasatan awam, SPR harus kembali melukis semula kawasan sempadan pilihan raya tetapi kali ini, dengan tambahan kerusi Parlimen di negeri Selangor,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Berdasarkan daftar pemilih suku kedua tahun 2017, katanya, Selangor mencatatkan jumlah pengundi tertinggi di negara ini iaitu seramai 2.33 juta orang, namun timbul masalah apabila terdapat jurang jumlah pengundi yang tinggi antara kawasan Parlimen di negeri itu.

“Jumlah pengundi tertinggi adalah di kerusi Parlimen P109 Kapar iaitu seramai 164,177 orang atau empat kali ganda lebih tinggi berbanding kawasan yang mempunyai jumlah pengundi terendah iaitu Sabak Bernam dengan 40,164 orang,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR itu tidak menyelesaikan perbezaan jumlah pengundi di kawasan pilihan raya di Selangor, malah melanggar prinsip ‘satu orang, satu undi’.

“Di kawasan Parlimen saya sendiri di Serdang, yang mana akan ditukar nama kepada Bangi, akan menempatkan 165,000 pengundi susulan persempadanan baru itu,” ujarnya yang juga Penolong Pengarah Pendidikan Politik DAP.

Katanya lagi ia menjadi sebab utama kerajaan negeri Selangor memohon semakan kehakiman bagi mencabar SPR dalam menjalankan cadangan persempadanan tersebut.

Pada 7 Disember lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan menolak permohonan semakan kehakiman tersebut, namun membenarkan perintah sementara, dalam menunggu keputusan Mahkamah Rayuan. – Roketkini.com