Berita

Golongan muda jadi keutamaan dasar kerajaan HARAPAN

Keperluan dan kepentingan golongan muda negara ini sentiasa menjadi menjadi keutamaan dasar kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) setelah mengambil alih pentadbiran di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Antara tawaran HARAPAN kepada golongan itu ialah mewujudkan satu juta peluang pekerjaan dengan gaji terendah sebanyak RM1,500.

Naib Ketua Pemuda HARAPAN, Arul Kumar Jambunathan berkata, meskipun golongan muda negara ini berpotensi besar memajukan negara, BN terus gagal mengurus ekonomi negara sehingga menyebabkan tekanan ke atas golongan muda dan rakyat negara ini amnya.

“BN nampaknya gagal melakukan transformasi dan menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi kepada orang muda negara ini.

“Kita sebagai anak muda penuh potensi, tapi di bawah kerajaan BN, golongan seperti kami berdepan pelbagai isu,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH 2018 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini.

Bagi mencapai objektif tersebut kata Arul, perubahan dalam PRU14 akan datang amat penting tambahan pula 40 peratus daripada senarai daftar pemilih terdiri dari kalangan golongan muda.

“HARAPAN amat memerlukan sokongan orang muda untuk menawan Putrajaya,” tegas Adun Nilai itu.

Demi memenuhi aspirasi golongan muda, HARAPAN katanya telah mengambil langkah kehadapan dengan melancarkan tawaran kepada anak muda merangkumi lima teras utama merangkumi 10 dasar.

Ia bertujuan bagi membantu golongan muda berdepan dengan cabaran ekonomi semasa dan kenaikan kos sara hidup yang semakin ketara.

Antara yang ditawarkan HARAPAN kepada anak muda ialah menubuhkan Dana Usahawan Belia bagi kawasan bandar dan luar bandar, Insentif Perkahwinan Belia RM500 bagi pasangan berusia 35 tahun ke bawah yang berkahwin pertama kali, menurunkan harga jalur lebar sebanyak 50 peratus dan memastikan setiap kampung mempunyai akses telekomunikasi 4G.

HARAPAN juga akan memperkenalkan kad bulanan pengangkutan awam bernilai RM100, melaksanakan dasar pengurangan pekerja asing secara beransur-ansur, menubuhkan pusat sehenti pekerjaan di setiap negeri, menggabungkan badan perumahan berkanun sebagai badan perumahan berpatutan, berkualiti serta memperbanyakkan rumah mampu milik dan kediaman sewa.

Selain itu, HARAPAN juga komited untuk memberikan lessen motorsikal secara percuma termasuk melaksanakan dasar Pendidikan percuma, geran sara hidup pelajar miskin dan sederhana selain bayarans emula pinjaman PTPTN hanya setelah seseorang pelajar itu mencapai pendapatan RM4,000 sebulan. – Roketkini.com