Berita

Guan Eng tuntut BH tarik balik laporan fitnah, mohon maaf

Akhbar pro-Barisan Nasional (BN), Berita Harian (BH) digesa menarik balik laporan berita palsu yang mendakwa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kononnya memberi amaran kepada Parti Amanah Negara (AMANAH) berhubung isu pembahagian kerusi pilihan raya.

“Saya minta wartawan Berita Harian, Muhammad Yusri betulkan, tarik balik (laporan palsu tersebut) dan meminta maaf kerana membuat laporan berita palsu. Ini bukan kali pertama dia buat soalan tidak berasas. Dia bukan (seorang wartawan) professional.

“Saya harap jangan putar belit, buat fitnah dan jangan bohong apa yang saya sebut kerana apa yang saya sebut adalah amat jelas sekali,” kata Guan Eng dalam sidang media di pejabatnya di Komtar, George Town.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu merujuk laporan BH Online bertajuk “Guan Eng beri amaran kepada PAN” yang disiarkan media tersebut semalam. Hasil semakan terkini mendapati laporan berita berkenaan telah dipadam.

Sebagai ahli pimpinan tertinggi DAP, Guan Eng berkata, beliau tidak pernah mencampuri urusan parti lain dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

“Kita (DAP) tidak akan campur urusan keluarga parti-parti lain kerana itu bukan urusan DAP, samalah seperti masalah keluarga DAP, kita akan uruskannya sendiri,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan. – Roketkini.com