Pengerusi Biro Buruh DAP, Sivanesan Achalingam berkata, parti itu akan memperkasa biro tersebut di peringkat persekutuan dan negeri bagi membela nasib pekerja di negara ini.
Jika BN kekal berkuasa pasca pilihan raya umum ke-14, kata Sivanesan, lebih ramai pekerja akan kehilangan pekerjaan dan nasib golongan ini perlu dipertahankan.
“Kita akan melantik beberapa individu yang berpengalaman dari pihak kesatuan sekerja dan majlis peguam untuk bersama DAP demi perjuangan kaum pekerja,” katanya dalam kenyataan.
Baru-baru ini, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan mengejutkan banyak pihak dengan jangkaan seramai 50,000 pekerja dijangka kehilangan pekerjaan tahun ini.
Kata Shamsuddin, sektor pembuatan berkemungkinan paling teruk terjejas selain pembuatan, perkhidmatan, insurans, perbankan, peruncitan dan pembinaan.
Antara faktor yang menyumbang kepada pengurangan tenaga kerja ini adalah levi ke atas majikan dalam pengambilan pekerja asing dan Skim Insurans Pekerja (EIS).
Pada tahun 2016 sahaja, hampir 40,000 pekerja dibuang antara Januari sehingga September manakala hampir 30,700 pekerja dibuang kerja setakat September 2017.
Mengulas lanjut, Sivanesan yang juga ADUN Sungkai berkata, DAP bimbang dengan keadaan itu dan melihat kewujudan untuk memperkasakan biro tersebut dengan melantik wakil di peringkat negeri.
“Saya menyeru mana-mana pihak terutama ahli-ahli parti yang berminat dalam perjuangan ini agar menghubungi ibu pejabat untuk menyatakan minat dan dilantik ke dalam biro ini,” jelasnya.
Sehubungan dengan itu, ujar beliau, DAP akan turut memasukkan agenda perjuangan buruh dalam manifesto Pakatan Harapan untuk PRU14. – Roketkini.com