Berita

Apa sudah jadi dengan siasatan kes video skandal ‘bos’ SPRM di Bali?

Jika polis boleh menyelesaikan siasatan kes-kes besar dan rumit seperti skandal tanah FELDA Jalan Semarak, bagaimana pula dengan dakwaan kes video skandal melibatkanKetua Pesuruhjaya SPRM  Tan Sri Dzulkifli Ahmad soal Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo.

“Ketua Polis patut maklumkan, beritahu perkembangan terkini membabitkan beberapa klip video melibatkan pegawai tertinggi SPRM di Bali tahun lalu.

“Tapi nampaknya semua senyap sahaja. Saya mahu tahu kenapa.

“Jika polis boleh siapkan siasatan dengan segera dalam kes ‘besar dan rumit’ seperti yang melibatkan tanah di Jalan Semarak, mengapa terdapat kelewatan dalam siasatan ke atas klip video?” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Menurut Ahli Parlimen Puchong itu, perkara ini juga telah pun dibangkitkkannya dalam sesi Parlimen yang lalu dan akan dibangkitkan semula dalam sesi bulan Mac ini.

“Kes ini melibatkan kepentingan umum.

“Sikap berdiam diri pihak polis dalam kes seperti ini tidak bagus bagi pihak Ketua Polis Negara mahupun Peguam Negara.

“Perlu ada penjelasan lanjut apa yang berlaku,” katanya lagi.

Kali terakhir kes membabitkan Dzulkifli ini dikemaskini adalah pada 6 Disember tahun lalu di mana Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata polis akan menyiapkan siasatan mereka dalam masa seminggu.

Kertas siasatannya telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara sebanyak tiga kali, tetapi semuanya ditolak dan dihantar kembali.

Dzulkifli disiasat di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan atas dakwaan menggoda isteri orang ekoran tersebarnya tiga video beliau dan beberapa individu ketika berada di Bali. – Roketkini.com