“Jangan disoal apa yang telah Kerajaan Negeri buat selama 10 tahun, tetapi apa yang UMNO dan BN buat.”
Demikian persoalan ditimbulkan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Kassim dalam respon terhadap laporan muka depan akhbar kawalan UMNO, Berita Harian bertajuk ‘Melayu Pulau Pinang terus terpinggir’.
Menurut beliau, UMNO dan Barisan Nasional perlu terlebih dahulu bertanya diri sendiri sebelum mempersoal kedudukan orang Melayu di Pulau Mutiara itu.
“Island College of Technology (ICT), iaitu sebuah kolej dan syarikat yang diperbadankan oleh Kementerian Kewangan yang ditubuhkan pada tahun 1998 telah ditutup 11 September 2017 disebabkan sejumlah hutang RM376,557.64 kepada Perbadanan Kemajuan Kraftangan iaitu milik Kementerian Pelancongan.
“Bangunan tersebut telah disita atas perintah mahkamah hinggakan pelajar-pelajar di sana tidak dapat memasuki dan meneruskan pengajian masing-masing.
“Justeru jangan disoal apa yang telah Kerajaan Negeri buat selama 10 tahun, tetapi apa yang UMNO dan BN buat sehingga terjadi perkara sebegini,” jelasnya dalam sidang media di Komtar tengah hari tadi.
Apa UMNO buat?
Dalam masa yang sama kepimpinan Umno Negeri dan Adun Pulau Betong, Datuk Muhamad Farid Saad digesa tampil membuktikan sebarang usaha yang dilakukan dua agensi negeri di bawah Kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan pemilikan aset Melayu Pulau Pinang sejak dahulu.
Gesaan tersebut dibuat Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin yang turut memberi respon kepada laporan akhbar yang sama.
Beliau mempersoalkan berapa banyak tanah dan aset Melayu Pulau Pinang telah dijual semenjak penubuhan Lembaga Pembangunan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) di bawah kepimpinan UMNO.
“Bolehkah mereka tunjukkan bukti kepada Kerajaan Negeri mana aset (PERDA) dan adakah pemilikan aset (Melayu) ini bertambah.
“Tetapi, sebagaimana yang ramai maklum, isu penjualan sebidang tanah oleh PERDA di bawah harga pasaran di Daerah Seberang Perai Selatan pun masih belum terjawab.
“Juga status JKP (JKP. Sdn. Bhd) dan Yayasan Bumiputera Pulau Pinang, di manakah Pengurus Besar JKP sekarang, apa yang jadi kepada projek-projek JKP yang seharusnya fokus kepada pembangunan dan juga peningkatan aset pemilikan Bumiputera di negeri ini,” soalnya dilaporkan Buletin Mutiara.
Dr Afif menggesa agar UMNO menghentikan sandiwara bahawa Melayu Pulau Pinang terus terpinggir, padahal sebenarnya agensi-agensi bertanggungjawab dipimpin oleh mereka sendiri yang gagal melaksanakan amanah yang diberikan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang kini fokus membantu semua golongan tidak kira Melayu, Cina atau India selagi rakyat masih memerlukan terutamanya dalam hal-hal pemilikan rumah.
“Disebabkan itulah, kita (Kerajaan Negeri) memfokuskan kepada pembangunan rumah mampu milik (RMM) dan juga rumah-rumah rakyat untuk warga negeri tidak mengikut daerah.
“Malah, kita juga gunakan tabung untuk kuota Bumiputera bagi membangunkan satu unit blok RMM di S.P. Chelliah yang mana dikhaskan untuk golongan Bumiputera sahaja.
“Kita nak tanya Farid, sewaktu pemerintahan Umno dahulu, ke manakah perginya wang sumbangan tabung Bumiputera ini,” soalnya. – Roketkini.com