Berita

Tak dibenar bahas isu 1MDB, DAP kemuka usul bahas keputusan speaker

Meski telah menjadi rahsia umum di peringkat antarabangsa, tindakan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul membahas skandal 1MDB minggu lalu terus memberi imej buruk kepada badan legislatif negara itu.

Integriti Pandikar sebahagi Speaker Parlimen yang bertanggungjawab mengawal selia persidangan boleh dipersoal apabila enggan memberi laluan supaya  kehilangan puluhan billion dana berdaulat negara membabitkan skandal 1MDB dibahaskan.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham hari ini telah memfailkan usul bagi membahaskan tindak-tanduk spekaer yang tidak membenarkan sebarang usul atau persoalan mengenai skandal tersebut disuarakan di parlimen.

“Saya mahu ia (isu 1MDB) dibahaskan dan Parlimen perlulah membuat keputusan kerana ia merupakan cara terbaik untuk memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap Parlimen.

“Saya menangguhkan apa yang diputuskan oleh speaker untuk tidak membenarkan sebarang usul dan tidak benarkan sebarang soalan,” katanya kepada media di Parlimen hari ini.

Selain itu, Ngeh turut memfailkan satu usul menggesa supaya Pandikar menarik semula surat amaran yang dikeluarkan kepada tiga Ahli Parlimen DAP awal minggu lalu berhubung perkara itu.

Pada 13 Mac Lalu, Ngeh bersama Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming dan  Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar didakwa kononnya menghina Parlimen kerana mendakwa Pandikar bersekongkol bagi menutup skandal 1MDB kerana tidak membenarkan ia dibahaskan. – Roketkini.com