Berita

Reputasi cemerlang Kerajaan P. Pinang buat UMNO mengelupur

UMNO terpaksa mengitar semula segala dakwaan kononnya masyarakat Melayu Pulau Pinang ‘terpinggir’ untuk menimbulkan kesangsian terhadap reputasi baik kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) yang diketuai DAP negeri itu.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, dakyah memburuk-burukkan kerajaan negeri itu digembar-gemburkan bagi mengelirukan masyarakat Melayu dari khususnya luar Pulau Pinang.

“Ini dakwaan kitar semula yang langsung tidak berasas.

“Ia hanya untuk menimbulkan kesangsian orang melayu, khususnya dari luar Pulau Pinang terhadap kerajaan Pakatan Harapan,” katanya ketika dihubungi Roketkini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Berita Harian baru-baru ini berhubung dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong, Datuk Muhamad Farid Saad kononnya ramai orang Melayu negeri itu terlepas peluang ekonomi.

Farid juga membangkitkan persoalan tentang pemilikan tanah bumiputera negeri itu kononnya semakin hilang.

Bagaimanapun hujah pemimpin UMNO itu disanggah Exco Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin yang mempersoalkan semula apa sumbangan UMNO kepada masyarakat Melayu negeri itu sejak sebelum ini.

Ini termasuk isu melibatkan pemilikan aset yang dipertanggungjawabkan kepada agensi persekutuan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) sejak 1984 yang dilihat gagal meningkatkan pemilikan aset bumitera Pulau Pinang.

“Jangan hanya bersandiwara dan main-mainkan seolah-olah bumiputera di Pulau Pinang terus terpinggir, sedangkan agensi bertanggungjawab dipimpin pemimpin UMNO,” kata Afif.

Menurut Zairil, sejak kerajaan Pakatan mengambil alih pentadbiran Pulau Mutiara itu, tiada sesiapa yang dipinggirkan malah dasar-dasar Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) telah banyak membantu semua kaum negeri ini termasuk usahawan bumiputera.

“Sebagai contoh dasar tender terbuka yang dilaksanakan untuk meningkatkan ketelusan.

“UMNO tuduh dasar tersebut akan menindas kontraktor Melayu kerana terpaksa bersaing.

“Namun 90 peratus daripada kontrak kerajaan negeri akhirnya dimenangi oleh kontraktor Melayu melalui sistem tender terbuka,” jelas beliau.

Zairil berkata, komitmen kerajaan HARAPAN Pulau Pinamg terhadap kepentingan masyarakat Melayu juga tidak diabaikan.

“Dalam kes pengusiran peneroka seperti di Kampung Tok Subuh, hasil daripada campurtangan dan bantuan kerajaan negeri, akhirnya kesemua peneroka diselamatkan.

“Penduduk ditempatkan semula dalam rumah baru di kawasan yang sama,” katanya lagi.