Berita

Najib, hentikan main wayang konflik Palestin – Pemuda HARAPAN

Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak dinasihat supaya berhenti bermain wayang kononnya menjadi pejuang Palestin dan umat Islam pada masa yang sama menuduh Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak menghiraukan konflik Tebing Barat itu.

Menurut Ketua Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) Nik Nazmi Nik Ahmad, segala dakwaan Najib itu langsung tidak menggambarkan seorang pejuang Palestin yang ikhlas, malah dilihat mempergunakan isu tersebut untuk meraih undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Di sebalik segala dakwaan itu, rakyat katanya hanya perlu lihat apa yang berlaku sejak Najib menjadi Perdana Menteri bagi menilai perkara yang sebenar.

Katanya, akhbar the Times of Israel telah melaporkan bahawa walaupun Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, dan mengaku memihak kepada Palestin, tetapi hubungan perdangan di antara dua negara ini terus meningkat saban tahun.

“Di dalam artiketl Malaysia favors Palestinians but buys from Israel, ia menyatakan bahawa mengikut Biro Perangkaan Israel, pada tahun 2013, nilai perdagangan di antara dua negara tersebut mencecah USD 1.529 bilion, peningkatan dua kali ganda daripada tahun 2012, manakala ia meningkat lagi 27 peratus pada awal 2014.

“Hubungan ini tidak dinyatakan dengan jelas di dalam laporan perdangan luar negara kita kerana Israel dikategorikan di dalam “lain-lain”, tetapi hubungan ini bukanlah satu rahsia.

“Selain daripada mengukuhkan hubungan perdagangan, Najib Razak juga gagal untuk menyatakan pendirian ketika bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump baru-baru ini walaupun bermegah dapat pertemuan empat mata dengan antara presiden paling pro-Zionis dalam sejarah Amerika itu,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Angkatan Muda PKR itu berkata, Najib juga merupakan Perdana Menteri pertama Malaysia sejak lebih 50 tahun yang telah membenarkan satu delegasi Israel yang diketuai bekas Timbalan Duta Israel ke PBB, David Roet, memasuki Malaysia pada awal tahun ini.

Beliau menegaskan, konflik Palestin dan Rohingya merupakan isu antarabangsa yang menjadi fokus HARAPAN dan telah pun dimasukkan dalam Buku HARAPAN melalui Janji 59.

“Kami akan membawa suara Palestin dengan lebih aktif ke peringkat OIC dan PBB untuk mencapai penyelesaian muktamad.

“Malah pemimpin kedua-dua pimpinan utama Pakatan Harapan, Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim juga masih disegani sebagai pemimpin Islam di persada dunia dan telah lama memperjuangkan hak Palestin di peringkat tertinggi.

“Najib harus henti bersandiwara di dalam hal ini, dan berhentilah cuba memperbodohkan rakyat hanya demi mendapatkan undian,” katanya lagi. – Roketkini.com