Memilih mana-mana parti pada pilihan raya tidak boleh disamakan dengan tindakan seperti memilih agama sebaliknya merupakan pilihan rakyat Malaysia untuk memilih pasukan yang diyakininya kata calon Pakatan Harapan DUN Chempaka, Nik Omar Nik Abdul Aziz.
“Pada 9 haribulan (Mei) ini kita ada pilihan raya. Pilihan raya bermakna kita diberi pilihan untuk memilih. Kita bukan pilih agama, tidak!
“Pilihan raya adalah untuk memilih pasukan mana yang memimpin. Boleh memandu negara kita ke arah yang lebih baik,” katanya di hadapan ribuan hadirin yang membanjiri ceramah HARAPAN di Putrajaya malam tadi.
Menurut anak sulung mantan Menteri Besar Kelantan allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Aziz itu, kepelbagaian kaum di negara ini memiliki hikmah dan perlu saling menghormati.
“Negara ni negara majmuk. Ada hikmat dia, ada Melayu ada Cina, India, Kadazan dan lain-lain. Kita semua adalah warga negara Malaysia. Masing-masing mempunyai hak masing-masing,” katanya.
“Sebagaimana kita nak hidup senang (atas dunia), kita nak semua manusia juga hidup senang tanpa kira agama sebab kita adalah manusia – itu Islam ajar,” ujar Nik Omar.
Mengimbau kembali kenangan Nik Omar berkata almarhum ayahnya telah menunjukkan sikap bertoleransi dan berhemah dalam hubungan orang Islam dan bukan Islam.
Katanya, Nik Aziz sanggup menziarahi Pengerusi DAP Karpal Singh ketika itu meskipun dalam keadaan kurang sihat.
“Dia sebut pada saya pada satu pagi, dia bagitahu ayah ni demam tapi rasa nak ziarah Karpal Singh di Pulau Pinang – kerana semata-mata nak meraikan hari jadi.
“Apa isyarat dia? Tok Guru nak tunjuk kepada manusia ini sepatutnya cara, pemikiran, contoh seorang muslim kepada orang islam dan juga kepada orang bukan Islam,” jelasnya.
Di akhir ceramahnya Nik Omar menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya berani melakukan perubahan pada PRU14 ini.
“Ambo tidak ajak pangkah orang, ambo ajak pangkah Pakatan, lambang keadilan demi kebajikan,” katanya disambut sorakan gemuruh ribuan hadirin yang membanjiri tapak bersebelahan Masjid Besi, Putrajaya. – Roketkini.com