Berita

Kerajaan umum gaji minimum swasta selewatnya Ogos

Gaji minimum baharu sektor swasta akan diumumkan selewat-lewatnya Ogos ini selepas selesai proses semakan dan mendapat kelulusan Kabinet, kata Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran.

Menurutnya, Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) akan mengadakan mesyuarat pada 13 Jun ini bagi meneliti hasil Kajian Semula Perintah Gaji Minimum 2016.

Katanya mesyuarat MPGN itu juga akan mempertimbangkan syor kadar gaji minimum dan perkara lain yang berkaitan bagi menepati janji manifesto Pakatan Harapan.

“Selepas mesyuarat, kementerian akan menyediakan Memorandum Jemaah Menteri bagi suatu keputusan dibuat kerajaan,” katanya pada sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Sumber Manusia, di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata Jawatankuasa Teknikal Perundangan Gaji Negara (JTPGN) telah selesai menjalankan kajian itu sebagaimana diperuntukkan dalam Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

Kula pada masa yang sama memaklumkan pihaknya juga telah membincangkan 10 janji 100 hari kerajaan Pakatan Harapan termasuk menyamaratakan gaji minimum di seluruh negara.

“Saya dimaklumkan JTPGN bersedia membentangkan syor kadar gaji minimum baharu kepada MPGN iaitu badan tripartite (tiga pihak) yang berperanan untuk membincangkan dan membawa syor itu kepada jemaah menteri,” katanya.

Dalam perkara lain beliau berkata kerajaan sedia mempertimbang cadangan memberi caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada 1.2 juta golongan suri rumah di negara bagi menghargai sumbangan mereka kepada keluarga masing-masing.

Bagaimanapun katanya mekanisme pelaksanaannnya akan diteliti sama ada bersesuaian atau tidak di negara ini.

“Ramai suri rumah adalah di bawah kumpulan B40 dan tidak mempunyai jaringan keselamatan sosial.

“Bank Dunia menyifatkan sumbangan wanita bekerja dan tidak bekerja adalah sama penting kepada pembangunan negara,” katanya.

Berhubung kes tertunggak di Jabatan Perhubungan Perusahaan dan Mahkamah Perusahaan, beliau berkata kerajaan juga akan memberi tumpuan terhadap perkara itu. – Roketkini.com

Kredit foto: Kementerian Sumber Manusia