Berita

Semua pihak perlu hormati pelantikan Ketua Hakim Negara – Abdul Aziz Isa

Pelantikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia dibuat sejajar Perlembagaan Persekutuan.

Setiausaha Publisiti DAPSY Sarawak, Abdul Aziz Isa berkata, pelantikan berkenaan sama sekali tidak melanggar sebarang undang-undang sebaliknya pula dilihat mampu memperbaiki sistem kehakiman negara berdasarkan pengalaman luas dan kelayakan.

Beliau membuat kenyataan ini menyelar sesetengah pihak yang sengaja memainkan sentimen perkauman dan agama bagi meneruskan agenda mereka.

“Pelantikan Ketua Hakim Negara dibuat berdasarkan Artikel 122B Perlembagaan Persekutuan melalui perkenan Yang Di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

“Jadi, mereka yang mengecam Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara yang dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong seolah-olah berniat jahat.

“Walaupun Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan bersuara, ia perlulah dilakukan dengan tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Aziz, semua pihak seharusnya jujur menerima apa yang termaktub dalam Perlembagaan dan tiada sesiapa yang boleh mengatasi undang-undang tertinggi negara itu.

Beliau masa yang sama membidas kenyataan Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hasan yang mendakwa kononnya pelantikan Malanjum memberi keresahan kepada umat Islam negara ini.

“Pada hakikatnya, sebilangan pemimpin PAS dan UMNO sendirilah yang terus mempergunakan sentimen kaum dan agama untuk membangkitkan keresahan rakyat pelbagai kaum negara ini.

“Sejujurnya saya melihat mereka yang menjadi pentaksub agama tidak akan berpuas hati. Reaksi ‘zaman batu’ sebegini hanya relevan di zaman pertengahan dan puak ini berbahaya kepada asas pembentukan Persekutuan Malaysia,” katanya lagi. – Roketkini.