Berita

Persidangan Dewan Rakyat ke-14 bersejarah

Pembukaan Dewan Rakyat penggal ke-14 hari ini pastinya amat bermakna apabila Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) berjaya menumbangkan rejim 60 tahun Barisan Nasional (BN) buat pertama kali dalam sejarah pada 9 Mei lalu.

Pada hari ini, seramai 222 anggota Dewan Rakyat akan mengangkat sumpah selepas 68 hari tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Majlis angkat sumpah itu akan berlangsung selepas pelantikan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Istiadat pembukaan sidang Parlimen pula akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada 17 Julai.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah sebelum ini, mesyuarat pertama penggal ini akan dimulakan dengan usul menjunjung kasih dan perbahasan Titah Diraja selama dua minggu diikuti dengan sesi penggulungan oleh para menteri pada minggu ketiga.

“Urusan minggu keempat dan kelima adalah perbahasan bagi rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain,” katanya.

Daripada 222 kerusi parlimen, PH dan WARISAN mendapat 122 kerusi, BN (79) dan PAS (18).

DAP telah menawan 42 daripada 54 kerusi yang ditandingi manakala PKR memenangi 47 kerusi, BERSATU (13), AMANAH (11) dan WARISAN (8).

Selain kawasan Parlimen, PH juga berjaya mencipta kejutan apabila terus mempertahan Selangor dan Pulau Pinang. Merampas Kedah, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Johor manakala WARISAN berjaya membentuk kerajaan di Sabah. – Roketkini.com