Berita

DAP lapor polis terhadap ugutan bunuh Nga Kor Ming, Liew Chin Tong

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Keranji, Chong Zhemin hari ini membuat laporan polis terhadap ugutan bunuh melalui media sosial Facebook terhadap Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming dan Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong.

Laporan itu dibuat terhadap seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagau ‘Jing Hong’.

Zhemin berkata, individu berkenaan memuat naik gambar memaparkan kedua-dua pemimpin berkenaan bersama gambar sepucuk pistol disertai kenyataan seperti berikut: “Kedua-dua kamu dari Pakatan Harapan buat saya marah, kamu dua-dua tunggu, saya akan bunuh kamu, kamu akan temankan Teoh Beng Hock.”

“Kiriman Facebook ini merupakan sejenis jenayah ugut dan melanggar Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum sehingga tujuh tahun di penjara, denda atau kedua-duanya sekali (jika didapati bersalah).

“Saya menggesa polis segera menyiasat identiti sebenar pengguna Facebook ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau turut menggesa Suruhanjya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyiasat dan membatu mengenal pasti pengguna Facebook berkenaan sambil menambah bahawa dia akan membuat laporan berasingan kepada SKMM.

“Saya menggesa pengguna media sosial bersikap rasional ketika membuat kiriman di Facbook dan tidak melanggar undang-undang,” katanya lagi. – Roketkini.com