Berita

Mansuh SOSMA: Kerajaan disaran dapatkan maklumbalas pertubuhan hak asasi

Pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) disambut baik banyak pihak.

Menurut Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan, akta zalim tersebut telah gagal mengimbangi keperluan untuk menangani keganasan dengan hak-hak saspek dan tertuduh yang belum lagi disabitkan dengan apa-apa kesalahan oleh mahkamah.

“Antara peruntukan drakonian dalam undang-undang tersebut adalah penahanan 28 hari seorang saspek tanpa perlu mendapat apa-apa perintah tahanan reman daripada Mahkamah.

“Dalam tempoh tahanan ini, saspek tidak diberi akses kepada peguam dan selalunya dikenakan tekanan untuk mengaku salah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di samping itu jelas Syahredzan, SOSMA juga mempunyai peruntukan-peruntukan yang bertentangan dengan kaedah-kaedah pembuktian, yang telah menjadi tonggak sistem keadilan jenayah untuk sekian lama.

“Semasa SOSMA digubal dan diluluskan, Kerajaan telah memberi jaminan bahawa ia tidak akan digunakan untuk tujuan politik, tetapi Kerajaan telah memungkiri jaminan ini apabila ia digunakan ke atas individu seperti Dato’ Seri Paduka Khairuddin Abu Hassan, Encik Mathias Chang dan YB Puan Maria Chin Abdullah sebelum ini.

“Adalah jelas bahawa pada natijahnya SOSMA adalah undang-undang yang tidak adil, arbitari dan mudah untuk disalahguna,” katanya yang juga seorang peguam.

Jelasnya, walaupun tidak dinafikan wujud keperluan undang-undang khusus bagi kes-kes terrorisme, ia perlulah selari dengan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Justeru, kerajaan disaran untuk mendapat maklumbalas dan bantuan daripada pihak yang berkepentingan seperti Majlis Peguam Malaysia, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan juga pertubuhan masyarakat madani dalam menggubal apa-apa undang-undang khusus bagi kes-kes terorisme.

Hal ini katanya penting untuk memastikan undang-undang  tersebut menepati piawai antarabangsa, mendukung hak asasi manusia dan selari dengan kedaulatan undang-undang. – Roketkini.com