Berita

Tony Pua perjelas kekeliruan cukai SST

Ahli Parlimen Damansara Tony Pua memperbetulkan kekeliruan yang timbul ekoran dakwaan  Presiden Akauntan Percukaian Malaysia, Datuk Abd Aziz Abu Bakar kononnya kos sara hidup akan lebih membebankan sekiranya SST dikembalikan.

“Huraian Datuk Abdul Aziz mengenai impak SST ke atas harga barang-barang dan perkhidmatan adalah salah.

“Cukai SST adalah cukai seperingkat, bukan berperingkat,” katanya dalam kenyataan.

Dakwa Abd Aziz, harga barangan akan berlaku kenaikan apabila terjadinya cukai berganda di mana margin keuntungan yang akan dikenakan kepada saluran perniagaan seperti pemborong dan peruncit adalah pada nilai harga selepas dikenakan cukai jualan 10 peratus.

Tony menjelaskan, SST adalah cukai yang jauh berbeza berbanding GST yang pernah dilaksanakan.

Pelaksanaan GST di Malaysia katanya membuktikan bahawa cukai tersebut telah menyebabkan kadar inflasi negara meningkat secara mendadak.

“Kadar inflasi meningkat sehingga 3.1% apabila GST dilaksanakan pada tahun 2014, berbanding dengan 1.7% dan 2.1% pada tahun 2012 dan 2013.

“Pada bulan Jun 2018, kadar inflasi telah turun kepada 0.8% berbanding dengan 1.8% pada bulan Mei 2018. Ia merupakan kadar inflasi yang paling rendah sejak bulan Februari 2015 dan penurunan kadar inflasi ini jelas disebabkan oleh pemansuhan GST,” katanya.

Dalam contoh yang diberikan oleh Abd Aziz seperti dilapor media, jumlah kutipan cukai oleh kerajaan adalah hanya RM1 daripada harga jualan produk sebanyak RM10 daripada pengilang kepada pihak pemborong.

“Akan tetapi kerajaan tidak lagi selanjutnya mengutip sebarang cukai daripada pihak pemborong, pengedar atau peruncit.

“Maksudnya, harga jualan antara pemborong, pengedar dan peruncit dan keuntungan yang dapat diperolehi di setiap peringkat jualan adalah tertakluk kepada kuasa pasaran,” ujar Tony.

Dalam masa yang sama, GST juga merupakan sistem cukai yang lebih rumit, sukar difahami dan lebih membebankan semua pihak dari segi perlaksanaan dan pengurusan, berbanding dengan cukai seperingkat SST.

Beliau berkata, sebelum kadar GST disifarkan pada 1 June 2018, anggaran kutipan GST bagi tahun 2018 adalah RM44 bilion berdasarkan sasaran kerajaan terdahulu.

“Akan tetapi, cukai SST dianggarkan hanya akan mengutip cukai sekitar RM21 bilion setahun.

“Oleh itu, jika dibandingkan dengan hasil kutipan GST, Kerajaan Pakatan Harapan akan dapat ‘memulangkan semula’ RM23 bilion kepada rakyat,” katanya lagi. – Roketkini.com