Berita

Istilah ‘pendatang’ disalahtafsir, M Kula mohon maaf

Saya merujuk kenyataan dalam sebuah ucapan di Nilai, minggu lalu; yang telah menjadi suatu topik kontroversi di media massa.

Kenyataan ini telah disalahtafsir sehingga mengandaikan bahawa saya telah menggunakan istilah ‘pendatang’ dengan merujuk kepada mereka yang tidak senang dengan penggunaan kata itu terhadap mereka.

Saya justeru memohon maaf atas sebarang rasa tidak senang yang telah saya cetuskan, dan menarik-balik rujukan yang menyakitkan hati tersebut dalam ucapan spontan terbabit.

Saya bukan dan tidak pernah menjadi seorang yang kontroversial dalam isu berkait kaum dan agama dalam negara kita ini, dan akan sentiasa menghormati apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ucapan dan kata-kata adalah ibarat sesumpah, dan kadang kala membawa makna yang berbeza dalam bahasa yang berbeza, seperti ucapan saya dalam bahasa Tamil itu.

Bagi mengelak daripada isu kenyataan saya dalam acara di Nilai minggu lalu itu terus melarat berlanjutan, saya membuat keputusan untuk memohon maaf dan menarik-balik kenyataan terbabit bagi mengelak kontroversi itu menjadi lebih buruk.

Saya mohon maaf jika telah mencetuskan sebarang rasa tidak senang.

YB M Kula Segaran
Naib Pengerusi Kebangsaan DAP
Ahli Parlimen Ipoh Barat