Berita

Kerajaan mansuh RM435 juta saman AES

Kerajaan membatalkan semua 3.1 juta saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang belum berbayar bernilai RM435 juta.

Menteri Pengangkutan Antony loke berkata, langkah itu dilaksanakan selepas kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung kontrak dua syarikat konsesi pemgendali sistem AES yang tamat pada 31 Ogos ini.

“Kerajaan telah ‘berkorban’ untuk tidak mengutip saman AES ini maka semua saman AES setakat ini yang masih belum dibayar oleh orang ramai telah dibatalkan.

“Jumlah saman adalah sebanyak 3.1 juta. Dengan setiap saman AES adalah RM150, maka semua jumlah adalah RM435 juta,” katanya kepada media.

Menurutnya, operasi kamera dan saman AES akan diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mulai 1 September depan, dan ia akan dikuatkuasakan dengan tegas tanpa diskaun.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Kempen Kibar Jalur Gemilang Kementerian Pengangkutan di Putrajaya hari ini. – Roketkini.com