Berita

Pertama kali dengar cerita temberang mahu pecah Malaya kepada dua bahagian

Fitnah bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar mendakwa kononnya Lim Kit Siang mahu agar Tanah Melayu dibahagikan kepada dua bahagian pada tahun 1969 adalah pertama kali didengar dan dilihat mempunyai agenda tertentu.

Cereka sedemikian kata Kit Siang adalah yang terburuk pernah didengarnya sepanjang dimomokkan dengan pelbagai fitnah termasuknya kononnya menjadi pencetus peristiwa 13 Mei, anti-Melayu, anti-Islam, puaka, jembalang termasuklah tuduhan mendominasi Pakatan Harapan.

“Saya kelu apabila mendengar kenyataan itu, membuatkan saya tertanya-tanya sama ada Hanif sudah nyanyuk atau mempunyai agenda tersembunyi untuk memburuk-burukkan saya dan DAP.

“Apa yang diperkatakan Hanif itu penuh dengan pelbagai kesalahan,” kata Kit Siang dalam kenyataannya hari ini.

Anehnya kata Kit Siang, sudah tentu cerita sedemikian tidak akan terperap lama sekiranya beliau pernah membuat cadangan sebegitu.

“Malah, sepanjang hayat saya, saya tidak pernah mendengar cadangan sebegitu daripada mulut sesiapa.

“Sumber mana agaknya yang dipetik Hanif untuk mereka-reka cerita temberang tersebut?”soalnya.

Haniff dipetik Sinar Harian mendakwa DAP meminta Malaya dibahagi kepada dua bahaigan ketika Parti Perikatan membentuk Barisan Nasional susulan rusuhan Mei 1969.

Susulan itu, beliau mengakui memasukkan Lim Kit Siang ke dalam penjara selama dua tahun ketika menjadi Ketua Polis Negara.

Walaubagaimana pun, dakwaan itu kata Kit Siang terlalu banyak persoalan dan kesalahan tambahan lagi Haniff masih belum memegang jawatan Ketua Polis Negara.

“Ini kali pertama saya dengar bahawa beliau adalah orang yang bertanggungjawab terhadap penahanan saya mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.

“Pertama sekali, beliau masih belum menjadi Ketua Polis Negara semasa saya pertama kali ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 18 Mei 1969.

“Khidmat Hanif sebagai Ketua Polis Negara bermula pada 1974 hingga 1994, selepas saya dibebaskan daripada tahanan ISA pada 1 Oktober 1970.

“Hanif mendakwa beliau adalah pihak yang bertanggungjawab terhadap penahan tersebut. Adakah beliau juga orang yang bertanggungjawab membebaskan saya sebagai tahanan ISA pada 1 Oktober 1970? Amat menarik jika dapat mendengar satu lagi kisah temberang daripada Hanif,” katanya.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu turut menyanggah fakta Haniff berhubung pembentukan Barisan Nasional kerana gabungan itu hanya ditubuhkan pada 1973 manakala Haniff pula menjadi KPN pada 8 Jun 1974. – Roketkini.com