Berita

Kurang 24 jam, Umno hilang 2 pemimpin kanan

Dalam tempoh kurang 24 jam, Umno hilang dua pemimpin kanannya.

Bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dilaporkan media bertindak keluar Umno, selepas Ahli Majlis Tertinggi Datuk Seri Mustapa Mohamed mengambil langkah serupa.

Menurut sumber yang dipetik media, Anifah yang juga Ahli Parlimen Kimanis itu menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa.

Anifah sebelum ini mencuri tumpuan apabila bersama-sama Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin, enggan mengikut karenah Ahli Parlimen pembangkang lain yang meninggalkan Dewan Rakyat sebagai protes terhadap pelantikan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sebagai speaker Dewan Rakyat ke-14.

Sementara itu, Mustapa dalam kenyataan media semalam berkata beliau keluar Umno kerana menganggap hala tuju parti itu kini tidak selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangannya.

“Dan (hala tuju parti) tidak ada banyak usaha yang meyakinkan bahawa proses rejuvenasi parti telah bermula,” katanya.

Malah pemimpin Umno Kelantan itu menegaskan Umno seharusnya menjadi parti yang “inklusif, moderat dan berhaluan tengah” tanpa mengetepikan kepentingan kaum dan agama lain.

“Inilah jalan terbaik dalam kerangka negara Malaysia yang majmuk.

“Untuk menjadi relevan dalam dinamika politik nasional hari ini, Umno selaku peneraju BN tidak boleh bergantung kepada sokongan orang-orang Melayu dan Bumiputera semata-mata,” ujarnya.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang dalam reaksinya terhadap peletakan jawatan Mustafa berkata ia membuktikan bahawa politik Malaysia kini di landasan yang baharu.

“Saya baru sahaja mendapat berita bahawa salah seorang pemimpin Umno yang paling dihormati dan bekas Menteri Umno, Datuk Mustapha Mohamad, baru sahaja meletak jawatan daripada Umno kerana beliau mahu Umno menjadi lebih inklusif dan moderat.

“Ini adalah bukti terbaru bahawa politik Malaysia berada di landasan baharu dan mereka yang merancang untuk memusnahkan kerajaan Pakatan Harapan mungkin akan hancur terlebih dahulu jika mereka berterusan menggunakan ekstremisme yang belum pernah terjadi sebelumnya dalam mengeksploitasi politik kaum, agama, kebencian, ketakutan dan pembohongan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – Roketkini.com