Berita

Penahanan Najib kemenangan buat rakyat – BERSIH 2.0

Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menyambut baik penahanan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung sejumlah RM2.6 bilion dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dimasukkan ke akaun peribadi beliau.

Menyifatkan peristiwa itu sebagai kemenangan buat rakyat Malaysia, BERSIH 2.0 berkata usaha gerakan itu dalam mengadakan pelbagai siri perhimpunan bagi membantah gejala rasuah dan salah guna kuasa oleh kerajaan terdahulu Barisan Nasional (BN) akhirnya membuahkan hasil.

“Perhimpunan Bersih 4 yang telah diadakan pada tahun 2015 telah menggesa Najib Razak untuk meletak jawatan serta supaya beberapa penambahbaikan institusi dilaksanakan bagi menghentikan korupsi di peringkat tertinggi yang berlarutan sejak zaman pentadbiran Barisan Nasional.

“Penangkapan ini adalah kemenangan buat seluruh rakyat Malaysia daripada Perlis hingga ke Sabah yang telah turun ke jalan raya selama 36 jam dalam perhimpunan Bersih 4 bagi membersihkan negara ini daripada rasuah dan salah guna kuasa dan semua rakyat yang hadir mendokong tuntutan perubahan dalam perhimpunan Bersih 5,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Malah, tegas BERSIH 2.0, sikap tidak endah BN terhadap skandal 1MDB telah menyebabkan gabungan tersebut kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

“Kebangkitan rakyat pada pada Pilihan Raya Umum ke-14 juga antaranya berpunca daripada isu rasuah dan skandal 1MDB Najib yang telah sekian lama tidak diendahkan oleh kerajaan Barisan Nasional dahulu,” ujarnya.

Bersih 2.0 juga menuntut agar ahli perniagaan yang dikehendaki Low Taek Low atau Jho Low dan individu yang terlibat dengan Najib Razak dalam skandal 1MDB ke muka pengadilan.

“Semoga siasatan SPRM berjalan dengan lancar, telus  dan adil serta diharapkan kemenangan berpihak kepada kebenaran,” katanya.

Najib Razak hari ini berdepan 25 lagi tuduhan melibatkan skandal 1MDB. 21 daripadanya membabitkan pengubahan wang haram berhubung RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadinya pada Mac 2013 dan ia terbahagi kepada tiga jenis kesalahan iaitu Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA). – Roketkini.com