Rencana

Hanya 5% bezakan sokongan pengundi Melayu pada PH, Umno – Kit Siang

Peguam Negara Tommy Thomas dalan wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini berkata pembaharuan undang-undang secara menyeluruh di negara ini memerlukan masa hampir sedekad untuk dilaksanakan.

Saya fikir Thomas bersikap konservatif dalam membuat anggarannya itu, kerana pembentukan sebuah Malaysia Baru memerlukan masa satu atau dua dekad untuk direalisasikan.

Selepas peristiwa bersejarah Pilihan Raya Umum 9 Mei, rakyat Malaysia kini kembali mengalas tugas mulia dan agung bagi membina sebuah negara bertaraf dunia – bukannya sebagai sebuah kleptokrasi global, sebaliknya merealisasikan kata-kata Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman pada awal pembentukan Malaysia, untuk menjadi “suar cahaya dalam dunia yang terganggu dan bingung”.

Kini setelah lima bulan berlalu selepas peristiwa penuh bersejarah pada 9 Mei, yang menyaksikan rakyat Malaysia, tidak kira yang berada di dalam negara atau diaspora di seluruh negara, merasa bangga menjadi rakyat Malaysia, tidak seperti tahun-tahun sebelumnya di mana mereka berasa malu dengan gelaran kleptokrasi global dan demokrasi penyangak sehingga berasa perlu menjarakkan diri daripada soalan-soalan yang memalukan mengenai kerajaan yang dipimpin Najib.

 Mustahil untuk membina Malaysia Baru dalam tempoh 100 hari atau lima bulan, namun adalah penting untuk bahtera Malaysia ini dikemudi dengan belokan yang kritikal daripada hala tuju negara yang gagal, kleptokratik dan kakistokrasi kepada hala tuju sebuah negara yang perpaduannya lebih erat, berintegriti, mengangkat semangat demokrasi, kedaulatan undang-undang dan kecemerlangan, sekali gus menetapkan arah baharu dalam pembentukan negara menuju sebuah Malaysia Baru khususnya ke arah integriti awam, kedaulatan undang-undang, demokrasi, tadbir urus baik, ketelusan yang lebih baik dan kesaksamaan ekonomi.  

Ini terbukti dengan beberapa perkembangan berikut:

Pertama, pemulihan semula doktrin pengasingan kuasa apabila Parlimen bukan lagi menjadi pak turut kepada Eksekutif dan membantu Perdana Menteri untuk menghentikan sebarang perbincangan berhubung skandal penggubahan wang haram dan rasuah membabitkan 1MDB serta isu di mana Malaysia menempa nama sebagai kleptokrasi global.

Speaker baharu dalam Parlimen baharu telah membebaskan Ahli Parlimen daripada cengkaman bekas Speaker Parlimen terdahulu yang menghalang perbincangan mengenai 1MDB di dalam dewan yang mulia; dan terdapat usul bagi mengarahkan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk menjalankan siasatan semula secara terperinci ke atas skandal rasuah dan penyelewengan membabitkan 1MDB dan syarikat berkaitan demi mengembalikan semula maruah Dewan Rakyat selain mendedahkan maklumat berkaitan kepada umum.

Pembaharuan lain adalah membentuk Jawatankuasa Terpilih untuk Ahli Parlimen bekerjasama dengan Kementerian atau dalam lapangan dasar.

Kami juga memulakan usaha melantik Pengerusi PAC daripada kalangan Ahli Parlimen pembangkang.

Kedua, terdapat pemulihan doktrin pengasingan kuasa apabila Kehakiman tidak lagi menjadi pak turut kepada Eksekutif dan Perdana Menteri, ia terlaksana menerusi pelantikan Ketua Hakim yang baharu, Tan Sri Richard Malanjum, Presiden Mahkamah Rayuan baharu Tan Sri Ahmad Maarop dan Peguam Negara baharu Tommy Thomas.

Ketiga, transformasi Malaysia daripada sebuah kleptokrasi global kepada sebuah negara yang berintegriti di dunia, bukan sahaja dengan usaha menyiasat secara komprehensif skandal 1MDB tetapi juga dengan membersihkan sistem korup tadbir urus di Malaysia. Ini adalah sebab mengapa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak didakwa dengan 25 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan skandal 1MDB.  

Keempat, pembaharuan undang-undang dan institusi yang seperti disebutkan Tommy dalam wawancaranya dengan Malaysiakini, untuk memansuhkan undang-undang tidak demokratik, menindas dan drakonian dan memulihkan semula kebebasan, kesaksamaan dan profesionalisme institusi penting negara.

Kelima, sebuah masyarakat yang terbuka dengan masyarakat madani yang lebih utuh dan media yang lebih bebas  

Namun terdapat isyarat bahaya – jalan ke arah politik jahat dan toksik yang memperguna isu kaum, agama, kebencian, ketakutan dan pembohongan oleh oportunis politik yang tidak bertanggungjawab dalam blok Pembangkang untuk menimbulkan rasa tidak percaya, permusuhan dan perselisihan antara kaum dan agama menerusi dasar “bumi hangus”, sebagaimana cadangan perikatan UMNO-PAS dan konspirasi MCA / UMNO / PAS untuk menggulingkan Kerajaan Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 jika tidak lebih awal, katakan dalam masa dua tahun.

Namun, kini keretakan mula berlaku dalam Umno, dua lagi Ahli Parlimen Umno, iaitu bekas Menteri Umno Datuk Mustapha Mohamad and Anifah Aman, meninggalkan Umno bagi mengikut jejak langkah lima Ahli Parlimen parti itu yang sebelum ini membuat tindakan serupa selepas PRU14.

Senarai 17 nama pemimpin kanan Umno merangkap Ahli Parlimen yang akan meninggalkan parti itu kini beredar di laman sosial – hanya masa akan menentukan sama ada khabar angin itu benar atau sekadar berita palsu.

Saya menemui penemuan penting berhubung PRU14.

Kajian awal oleh Dr. John Funston dari Jabatan Perubahan Sosial dan Politik, College of Asia and the Pacific of Australian National University (ANU) menunjukkan sokongan orang Melayu kepada Umno pada PRU hanya kira-kira 5% lebih tinggi daripada sokongan mereka kepada Pakatan Harapan, dan bukannya 15% seperti yang dianggarkan Merdeka Centre sebelum ini.

Analisis undian oleh Merdeka Centre sebelum ini menganggarkan bahawa kira-kira 95% orang Cina dan 70 hingga 75% pengundi India mengundi Pakatan Harapan dan Malaysia Baharu, sementara hanya 25-30% orang Melayu mengundi Pakatan Harapan dan Malaysia Baharu.

Analisis Funston bagaimana berbeza dengan anggaran sebelum ini bahawa 35 hingga 40% orang Melayu mengundi Umno/BN, 30 hingga 33% mengundi PAS dan 25 hingga 30% mengundi Pakatan Harapan pada PRU14.

Berikut merupakan dapatan analisis awal Funston:

Pengundi Semenanjung

Jumlah Undia – 10,347,357

Jumlah Pengundi Melayu – 6,346,739 (61.34%)

Undi Umno – 2,323,665 (36.6%)

Undi PAS – 2,012,381 (31.7%)

Undi PH – 2,010,693 (31.7%)

Kajian awal Funston menyatakan Pakatan Harapan mempunyai lebih ramai wakil rakyat Melayu di Semenanjung berbanding Umno – terdapat 51 Ahli Parlimen Melayu yang mewakili PH (PKR 26, Bersatu 13, Amanah 11, DAP 1) berbanding jumlah keseluruhan Ahli Parlimen Umno di seluruh Malaysia yang berjumlah 49 orang (dengan lima Ahli Parlimennya meninggalkan Umno sejak 9 Mei 2018).

Kita memerlukan menang lebih daripada satu PRU pada masa akan datang untuk membentuk sebuah Malaysia Baharu, dan kita mahu agenda Malaysia Baharu yang digagaskan Pakatan Harapan menjadi agenda kebangsaan untuk dua dekad akan datang, oleh itu kita perlu menang PRU15, PRU 16 dan PRU seterusnya.

Saya tidak percaya bahawa, memetik kajian awal Funston, 36.6% orang Melayu yang mengundi Barisan Nasional dan 31.7% orang Melayu yang menyokong PAS pada PRU14, mahu menyokong kerajaan kleptokrasi, salah guna kuasa dan GST serta bermacam-macam lagi bentuk ketidakadilan dan penindasan yang dilakukan rejim Najib.

Malah, saya tidak percaya bahawa 31.7% pengundi Melayu yang mengundi PAS mahu sebuah kleptokrasi Islamik bagi menggantikan kleptokrasi global Najib.

Bolehkah kita pastikan bahawa pada PRU akan datang, kita bukan sahaja mampu mengekalkan sokongan daripada pengundi bukan Melayu, malah menambah lagi sokongan pengundi Melayu kepada Pakatan Harapan bagi melawan kleptokrasi dan memastikan Malaysia menjadi sebuah kerajaan yang bersih dan jujur dan tidak korup, lebih-lebih lagi selepas pendedahan skandal 1MDB dan skandal serupa dalam MARA, FELDA, dan agensi kerajaan yang lain serta pendedahan aset RM2.1 bilion yang dimiliki pemimpin Umno.

Ini adalah cabaran kepada semua rakyat Malaysia yang berimpian untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara ulung bertaraf dunia dan menjadi contoh kepada dunia sebagai sebuah negara bersatu padu, harmoni, berjaya, demokratik, progresif dan makmur.

*Ucapan oleh Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang dalam ceramah bertajuk “Malaysia’s GE 14 A Gift of Hope?” di Australian National University, Canberra pada 4.30 pm Khamis, 20 September 2018