Berita

2 minggu untuk serah lesen terbang – Anthony Loke

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook memberi amaran tegas kepada pemegang lesen terbang agar menyerahkan lesen mereka kepada Unit Integriti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri atau berdepan tindakan.

Beliau yang juga Setiausaha Organisasi DAP berkata mereka diberi tempoh selama dua minggu untuk berbuat demikian sambil menegaskan bahawa JPJ mempunyai maklumat terperinci mengenai identiti mereka.

“Kita sudah ingatkan (sebelum ini) semua pemegang atau pembeli lesen terbang supaya kembalikannya kepada JPJ,” katanya seperti dipetik Bernama.

Terdapat seramai 14,000 pemegang ‘lesen terbang’ di seluruh negara. Maklumat mengenai kegiatan haram tersebut lesen terbongkar selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 12 pegawai dan anggota JPJ dari Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak sejak 4 Sept lalu.

Kesemua 12 pegawai dan anggota JPJ yang ditahan itu melibatkan seorang timbalan pengarah; masing-masing dua penolong pegawai penguat kuasa dan ketua pembantu penguat kuasa; enam pembantu penguat kuasa; dan seorang pembantu tadbir. – Roketkini.com